Sindiket seleweng diesel bernilai ratusan ribu ringgit tumpas

Sindiket seleweng diesel bernilai ratusan ribu ringgit tumpas

JEGAN (tengah) ketika mengetuai serbuan ke sebuah premis yang dipercayai dijadikan stor haram untuk menyeleweng diesel bersubsidi di Sungai Lokan, Butterworth, Pulau Pinang petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi bernilai ratusan ribu ringgit berjaya ditumpaskan susulan satu serbuan ke atas sebuah premis yang dipercayai dijadikan stor haram di Sungai Lokan di sini, petang tadi.

Serbuan oleh sepasukan anggota penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang itu dilakukan selepas risikan selama dua bulan dibuat atas maklumat awam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, dalam serbuan sempena Op Tiris 3.0 itu, empat lelaki tempatan yang dipercayai pekerja di situ turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya berjaya menemukan kira-kira 27,000 liter diesel bersubsidi serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak berkenaan.

“Selain merampas diesel tersebut, KPDN turut menyita sebuah lori tangki dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, beberapa tangki jenis Intermediate Bulk Containers (IBC) yang berisi minyak diesel serta beberapa dokumen berkaitan.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM260,860,” katanya dalam sidang akhbar ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

JEGAN (kanan) menunjukkan sebahagian daripada peralatan yang digunakan untuk menyeleweng diesel bersubsidi di Sungai Lokan, Butterworth, Pulau Pinang petang tadi.

Jegan memberitahu, siasatan mendapati, modus operandi yang digunakan oleh sindiket terbabit ialah mengisi minyak diesel bersubsidi daripada beberapa buah stesen minyak di kawasan berhampiran lokasi dengan menggunakan lori yang telah diubahsuai sebelum dibawa ke stor berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini selain rantaian pengedaran diesel tersebut termasuk sumber di mana ia diperolehi dan diedarkan,” katanya.

Tambah beliau, rampasan diesel bersubsidi itu dianggap terbesar setakat tahun ini dan KPDN akan terus komited untuk menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya