PUTRAJAYA: Sindiket penipuan dalam talian (scammer) didalangi warga asing mampu meraih keuntungan antara RM100,000 hingga RM150,000 sehari dengan menawarkan tawaran penjualan saham, barangan dan hartanah yang tidak wujud, tumpas dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.
Pusat operasi sindiket itu berpusat di 17 unit kediaman mewah di Kuchai Lama, di sini, turut berfungsi sebagai pusat panggilan yang menyasarkan mangsa tempatan dan luar negara menerusi pelbagai tawaran tidak wujud termasuk pembelian emas, kapal mewah, judi dalam talian dan love scam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dilakukan berjaya menahan 46 warga asing berusia antara 23 hingga 54 tahun, terdiri daripada 14 lelaki warga China, 15 lelaki dan empat wanita (Indonesia), seorang lelaki dan dua wanita (Myanmar), dua lelaki (Bangladesh), dua wanita (Laos) dan enam wanita warga Thailand.
“Siasatan awal mendapati, pusat panggilan itu turut berperanan menghubungi pelanggan dan menawarkan pembelian emas, hartanah, kapal mewah, pelaburan saham, mata wang asing, judi dalam talian dan love scam.
“Sindiket menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, TikTok, WeChat, WhatsApp, Telegram dan pelbagai lagi sebagai medium memancing pelanggan atau mangsa,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Jafri berkata, sindiket akan mengiklankan tawaran palsu melalui nombor telefon pelanggan atau mangsa yang diperolehi secara rawak dan mangsa yang berminat akan diminta memindahkan wang melalui pautan yang diberikan.
“Setelah wang dipindahkan, mangsa tidak dapat menghubungi sindiket tersebut dan menyedari mereka telah ditipu.
“Sindiket turut menggunakan ‘keldai akaun’ bagi memindahkan wang yang diperolehi dari mangsa dan anggota sindiket didapati menerima upah sekitar RM2,500 hingga RM3,500 sebulan,” katanya.
Operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya sekitar pukul 11.30 pagi itu disertai seramai 120 pegawai JIM pelbagai pangkat.
Dalam serbuan itu pelbagai peralatan dirampas termasuk empat unit komputer tiba, 88 unit telefon bimbit, dan wang tunai berjumlah RM100,000 manakala kesemua warga asing ditahan, disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 atas pelbagai kesalahan, termasuk memasuki negara tanpa pas sah dan menyalahguna pas lawatan sosial. – UTUSAN