KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi akan meneliti secara menyeluruh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang mendedahkan bahawa tiga universiti awam mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan melihat lebih terperinci mengenai kerugian yang dialami oleh tiga universiti terbabit.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa institut pengajian tinggi awam (IPTA) bukanlah sebuah entiti berorientasikan perniagaan.
“Saya akan melihat semula secara terperinci berkaitan dengan tiga universiti awam kerana IPTA kerugiannya bukan berniaga. Apa yang kita perlu tahu sifat IPTA bukan berniaga.
“Jadi mengenai laporan ini, saya akan semak semula kerugian dalam bentuk apa dan saya akan dapatkan dengan lebih terperinci,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP), di sini hari ini.
Semalam, tiga buah universiti awam antara lima agensi persekutuan dilaporkan mengalami kerugian berturut-turut tertinggi sepanjang tiga tahun berturut-turut iaitu antara 2021 hingga 2023.
Tiga universiti itu adalah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025, punca tiga universiti terbabit mengalami kerugian terbabit disebabkan geran mengurus dan pendapatan janaan sendiri (yuran pelajar) tidak dapat menampung perbelanjaan operasi universiti.
“UMS mengalami kerugian sebanyak RM141.41 juta pada 2023, meningkat berbanding RM89.31 juta pada 2021 dan RM89.47 juta pada 2022.
“UPM pula merekodkan kerugian RM127.71 juta pada 2023 berbanding RM81 juta dan RM118.7 juta masing-masing pada 2022 dan 2021 manakala USIM mencatatkan kerugian RM61.6 juta pada 2023, RM2.62 juta (2022) dan RM14.21 juta (2021),” katanya. – UTUSAN