PETALING JAYA: ‘Siapa bunuh anak aku?’ Itulah jeritan bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika melihat jasad kaku anaknya di atas timbunan pasir, tepi tebing sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini.
Menurut saksi pendakwaan keenam, Faizul Najib Abd. Munaim, 47, bapa kanak-kanak itu bergegas ke kawasan penemuan mayat mangsa sejurus ia ditemukan oleh saksi berkenaan bersama dua orang lagi penduduk setempat.
Turut tiba di lokasi itu ialah seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai datuk kepada Zayn Rayyan.
“Selepas mayat ditemui, ayah kepada arwah datang dan mahu tengok anak dia. Ayah arwah datang dalam keadaan emosi dan ada beberapa perkataan yang kita rasa kurang enak didengari. Antaranya yang saya ingat ‘Siapa bunuh anak aku ni?’,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Eksekutif jualan itu merupakan individu pertama menemui mayat kanak-kanak itu.
Menurut Faizul Najib, ketika menemui kanak-kanak itu, dia menyangka Zayn Rayyan sedang tidur kerana keadaannya yang bersih.
“Saya pergi ke kanak-kanak itu, dia seolah-olah tengah tidur. Saya sangkakan apabila saya menjerit dengan kuat mungkin arwah ini akan respon sedikit dengan mengerlipkan mata namun malangnya tiada respon diberikan,” katanya.
Terdahulu, Faizul Najib memberitahu bahawa dia menyertai misi pencarian Zayn Rayyan selepas menerima makluman mengenai kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun itu melalui kumpulan WhatsApp komuniti di Damansara Damai.
Jelasnya, pada ketika itu, dia meneruskan misi pencarian sendiri termasuk di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh kerana lokasi itu mempunyai taman permainan yang berkemungkinan menarik perhatian kanak-kanak tersebut.
Semasa prosiding, saksi itu turut menangis apabila pihak pendakwaan mengemukakan gambar-gambar Zayn Rayyan kepadanya bagi tujuan pengecaman.
Bagi prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari, 30 dan Ismanira Abdul Manaf, 30, diwakili peguam bela, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh masih berlangsung.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-UTUSAN