Shukri Yahaya meluat dengan Eshaal - Utusan Malaysia

Shukri Yahaya meluat dengan Eshaal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya sendiri benci watak Eshaal dan tertanya-tanya kenapa kelakuannya seperti itu.”

Demikian respons pelakon Shukri Yahaya yang berjaya mengundang kebencian ramai selepas membawakan watak lelaki curang, Eshaal menerusi drama bersiri, Curang Tanpa Niat.

Shukri atau nama lengkapnya, Mohd Shukri Yahaya, 37, lega watak yang dijayakan itu berjaya meninggalkan kesan kepada penonton setia drama tersebut meskipun takut dengan penerimaan orang ramai sebelum ini.

“Untuk pengetahuan, saya memang takut nak bawakan watak ini. Bukan takut kerana badi, kerana saya percaya pada diri sendiri. Cuma, saya takut jika penonton membenci saya selama-lamanya.

“Mujur kebencian mereka hanya dizahirkan dalam media sosial apabila ada hantar mesej nak pukul Eshaal dan menghina penampilan fizikalnya.

“Tetapi, itu adalah perkara biasa kerana saya pernah berdepan dengan komen sama setiap kali saya bawa watak antagonis seperti pukul isteri dalam lakonan sebelum ini,” katanya.

Shukri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pertunjukan Fesyen Bulan Bintang Sedekad Menyinar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Tambah Shukri, karakter Eshaal menerusi drama tersebut juga berbeza berbanding watak-watak lelaki ‘baran’ yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Terus terang, watak saya memang sukar dari segi lakonan. Bagaimana, saya nak terjemahkan dan kembangkan lagi dari segi perwatakannya.

“Untuk watak ini juga, saya perlu mencipta penampilan berbeza. Kalau ikutkan pengarah mahu saya tampil kemas, namun saya cadangkan supaya rambut saya kelihatan kusut masai.

“Saya pilih sebegitu kerana saya tahu penonton memang suka kecam dari segi penampilan. Strategi ini ‘menjadi’ bila ada yang mesej nak potong rambut dan minta saya sikat rambut supaya lebih rapi,” jelasnya.

Shukri bagaimanapun mengakui dia sendiri tidak sanggup untuk melihat semula lakonannya menerusi drama bersiri itu apatah lagi sejak isterinya, Tya Adnan mula berhijrah ke arah kebaikan.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak menonton drama yang saya lakonkan ini. Walaupun pengarah panggil dan minta tengok semula, saya enggan lakukannya.

“Lebih-lebih lagi sejak isteri saya mula berhijrah dan berniqab ini kami tidak lagi melanggan Astro. Jadi, memang kami tidak berpeluang untuk menontonnya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya