‘Serangan Kilat’ kebangkitan Lipan Bara - Utusan Malaysia

‘Serangan Kilat’ kebangkitan Lipan Bara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kumpulan Lipan Bara bukanlah nama asing bagi peminat muzik rock tempatan khususnya di era 80-an dan 90-an. Lipan Bara yang ditubuhkan pada 1987 oleh Lan Lipan @ papa Lote dilihat cukup menyerlah dengan membawa trademark tersendiri melalui karya-karya berentak heavy metal.

Selepas berjaya menjuarai pertandingan Juara Rock Galactica pada tahun 1988, Lipan Bara diberi tawaran oleh Life Records untuk menerbitkan album pertama, namun penyanyi utama, Elly menarik diri dan tempatnya digantikan oleh Mohd. Redzuan Aziz atau lebih dikenali dengan panggilan Oney.

Bersama Lipan Bara, Oney berjaya mencipta nama dengan dua album studio yang dimiliki iaitu, Tanda Tanya (1991) dan Harimau (1991) yang mana beberapa seleksi lagu-lagu mereka seperti

Seirama Aman Sentosa, Kayangan, Syurga Impian dan Blues Tongkat Ali mendapat tempat di hati peminat.

Setelah hampir 30 tahun menyepi, kini Lipan Bara kembali menemui peminat untuk meneruskan baki perjuangan mereka melalui showcase yang bakal berlangsung pada 15 Februari ini yang bertempat di Warisan Hall, Sijangkang.

Meletakkan tagline Serangan Kilat, showcase yang dianjurkan oleh Ultimate Media ini pastinya dapat menokhtahkan rindu peminat di samping mengimbau kembali nostalgia lampau sewaktu zaman kegemilangan mereka satu ketika dahulu.

Menurut Oney, sebelum membuat keputusan bergabung, dia terlebih dahulu meminta izin dan restu daripada anggota terdahulu untuk menjenamakan semula Lipan Bara, malah kebangkitan mereka boleh diibaratkan sebagai mengubat rindu peminat yang sekian lama menantikan kemunculan mereka.

“Matlamat kami sekadar ingin menghiburkan peminat yang masih setia menyokong Lipan Bara sejak dahulu hingga sekarang. Sebelum ini ramai yang bertanya bila lagi kami akan buat persembahan, jadi showcase ini adalah medan terbaik untuk bertemu mereka.

“Rasanya kali terakhir saya buat persembahan bersama Lipan Bara adalah pada 1994, jadi peminat jangan lepaskan peluang untuk datang menonton, ini adalah come back kami selepas puluhan tahun dan jika sambutan menggalakkan tidak mustahil kami akan muncul dalam siri seterusnya,” katanya.

Oney yang sebelum ini pernah menganggotai Kumpulan MAY dan Jump-P percaya genre rock masih diminati berdasarkan sambutan menggalakkan daripada peminat setiap kali ada dalam kalangan mereka yang membuat persembahan.

Sebelum ini Oney terpaksa berehat panjang gara-gara masalah kesihatan yang dihadapinya pada awal 2023, namun setelah melakukan rawatan dan pembedahan, dia kini sudah beransur pulih dan kembali aktif.

“Saya kena serangan jantung pada awal 2023 lalu sehingga terpaksa lakukan pembedahan pintasan. Saya berehat panjang hampir setahun lamanya. Namun setelah lakukan rawatan dan doktor sudah sahkan yang saya sudah benar-benar pulih dan sihat, barulah saya kembali aktif.

“Showcase ini merupakan come back saya sebagai penyanyi, ikutkan memang agak mencabar juga kerana peminat sedia maklum lagu-lagu Lipan Bara semuanya bernada tinggi dan berentak heavy,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Ultimade Media yang juga pengurus Lipan Bara, Ekmal Md. Nor berkata, dia bersyukur kerana apa yang dirancangkan akhirnya menjadi kenyataan.

Katanya, sebagai penganjur dia sudah lama mengimpikan untuk membawa Lipan Bara ke pentas memandangkan mereka memiliki peminat dan punyai seleksi lagu-lagu hits yang berkualiti.

Walaupun lokasi tersebut mempunyai kapasiti penonton yang agak terhad, namun itu tidak menjadi masalah kerana tujuan utamanya adalah untuk memperkenalkan Lipan Bara kepada peminat sebelum merancang ke siri persembahan yang lebih besar.

“Selain mengagumi Lipan Bara malah saya juga adalah sahabat baik kepada Oney. Pilihan membawa Lipan Bara pada showcase ini adalah tepat kerana aura dimiliki mereka. Bagi saya ini adalah langkah awal untuk menjenamakan semula kumpulan ini.

“Platform seperti ini saya lihat bertetapan untuk sesebuah kumpulan lama buat come back, saya percaya ramai peminat muzik rock menantikan kemunculan gabungan ini memandangkan kualiti dan lagu-lagu mereka yang pernah hits satu ketika dahulu,” terangnya.

Ketika ditanya kemungkinan akan adanya pemantauan atau pemeriksaan ketat daripada pihak berwajib ketika berlangsungnya showcase nanti, Ekmal menegaskan, dia secara peribadi turut menyokong saranan tersebut memandangkan tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Menurutnya lagi, insiden yang berlaku pada tahun lalu yang membabitkan kehilangan nyawa adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang remeh.

“Jika kerajaan sudah buat ketetapan untuk adakan saringan dan pemeriksaan sebelum bermulanya konsert kita kena akurlah, malah saya juga sudah berbincang dengan Oney di mana kita akan mainkan video selama satu minit bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk maklumkan berkenaan hal ini.

“Sebelum ini pun saya sudah menonton satu video di TikTok dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang meminta mana-mana penganjur konsert tahun ini khususnya di Selangor supaya memberikan kesedaran kepada peminat berkenaan bahaya dadah,” ujarnya.

Oney juga mempunyai pendapat yang sama. Menurutnya, mereka hanya mahu menghiburkan peminat dan tidak sesekali membiarkan persembahan mereka dicemari dengan unsur negatif.

“Sebaiknya, setiap konsert yang berlangsung pada tahun ini perlu diberi penekanan khusus terhadap bahaya dadah ini. Tetapi apa-apa pun terpulanglah kepada penganjur kerana pendedahan itu penting terutamanya kepada generasi muda hari ini,

“Penganjur juga ada berbincang dengan kami di mana trademark mereka adalah ‘Lipan Bara Benci Dadah,” katanya.

Oney selaku penyanyi utama kini bergerak bersama anggota-anggota baru iaitu Zaff sebagai pemain gitar, Labut (drum) Ham (bass) dan Ali (keyboard).

Pada showcase ini nanti Lipan Bara akan menyampaikan lebih daripada 11 lagu dari seleksi album mereka, termasuk beberapa lagu yang diberi nafas baharu serta arrangement tersendiri khusus buat peminat yang hadir.

Kepada peminat yang ingin menyaksikan persembahan showcase ini bolehlah membuat tempahan tiket di talian – 0126717573.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya