Serah JAIPk siasat khatib baca khutbah Jumaat negeri lain - Utusan Malaysia

Serah JAIPk siasat khatib baca khutbah Jumaat negeri lain

SAARANI Mohamad (lima dari kiri) melihat permainan robotik pada Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Kemas Peringkat Negeri Perak di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk melakukan siasatan berhubung kes seorang khatib di Parit Buntar yang tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, adalah sesuatu yang tidak kena apabila khatib berkenaan membacakan khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri lain.

“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena kerana di bawah JAIPk, ada unit membuat karangan bagi khutbah Jumaat. Malah, memang ada arahan daripada JAIPk supaya semua masjid membacakan khutbah Jumaat yang disediakan mereka.

“Jadi, kalau ada mana-mana masjid yang membaca khutbah di luar daripada khutbah yang sediakan, mungkin ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya percaya JAIPk akan menyiasat perkara ini. Bergantung kepada hasil siasatan itu nanti, betul atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri Perak 2025 di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Menurut beliau, teks khutbah Jumaat bukanlah dibuat secara ad-hoc sebaliknya disediakan sebulan atau dua bulan lebih awal dengan intipatinya pula merujuk kepada peristiwa penting bagi minggu dan bulan berkenaan.

Katanya, sebagai contoh, pada sambutan Hari Belia, Hari Angkatan Tentera dan Hari Wartawan, khutbah yang disediakan adalah mengenai golongan berkenaan dan mereka juga digalakkan untuk membaca khutbah tersebut.

“Saya percaya teks khutbah yang disediakan Jumaat lalu berkaitan fitnah terhadap isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Saidatina Aisyah adalah berdasarkan kepada peristiwa itu. Ia sebagai peringatan bahawa fitnah itu sangat merosakkan.

“Fitnah boleh menyebabkan perselisihan pendapat, cerai berai dan pergaduhan. Itu pengajaran daripada teks khutbah yang dibacakan itu,” katanya.

Tambah Saarani, teks khutbah tersebut juga tidak merujuk kepada mana-mana individu seperti mana yang didakwa pihak tertentu.

“Tak ada, umum sangat benda (fitnah) itu dan ini bukanlah kali pertama kita dengar khutbah mengenai fitnah ni. Banyak kali kita dengar kecualilah kalau ada orang makan cili, dia terasa pedas. Itu tajuk lainlah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang khatib di Parit Buntar dikatakan tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk sebaliknya membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Tajuk teks khutbah Jumaat di semua masjid di Perak adalah ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki’ manakala di Pulau Pinang pula bertajuk ‘Muhasabah di Bulan Sya’ban’.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Perak, Muhammad Rif’aat Razman melalui hantaran di Facebook mempersoalkan pemilihan tajuk khutbah itu yang dikatakan seakan menyinggung Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga bapanya.

Menurutnya, tajuk tersebut seolah-olah berkaitan dengan isu tuduhan fitnah Razman terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini.

Katanya, peristiwa yang dekat dengan umat Islam ketika ini berkaitan Israk Mikraj dan kelebihan bulan Syaaban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya