Sepenuh masa demi rakyat Parlimen Hulu Langat

Sepenuh masa demi rakyat Parlimen Hulu Langat

MOHD. Sany Hamzan (lima dari kiri) semasa Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani): Kebun Komuniti Kampung Batu Lima di Kampung Batu Lima, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagaimana mungkin seorang wakil rakyattermasuk Parlimen Hulu Langat  itu kerjanya tinjau kawasan, tengok jalan raya berlubang, lampu jalan rosak, longkang dan parit pecah dan macam-macam lagi? Bukankah tugas wakil rakyat itu gubal undang-undang dan dasar? Pelik sungguhlah skop kerja ahli Parlimen di Malaysia ini.”

Demikian antara persoalan bermain di fikiran rakan sejawat dari Negara-Negara Komanwel kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan dalam pertemuan rasmi mereka sebelum ini.
Tetapi, beliau tidak tersentak dengan persoalan tersebut, kerana itulah yang membuatkan persekitaran kerja wakil rakyat negara ini unik dan berbeza dengan negara lain.

Beliau mengakui penggubalan undang-undang dan dasar negara merupakan tugas utama ahli Parlimen. Bagaimanapun, katanya, tidak lengkap tanggungjawab itu tanpa ‘sumbangan semula’ untuk rakyat kerana mereka yang membawa seseorang ke tampuk kuasa melalui sistem demokrasi berperlembagaan dan pilihan raya umum.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Hulu Langat itu berkata, tiada satu masa pun dalam jadual hariannya yang beliau rasakan ‘kosong’ kerana kebanyakan masanya diisi untuk memudah cara segala urusan rakyat yang berkunjung ke pejabat Parlimennya.

“Saya ingat lagi ada dalam kalangan rakan Negara Komanwel yang bertanya kepada saya bagaimana ahli Parlimen Malaysia ini bertugas? Saya beritahu, semua kerja kami lakukan demi rakyat.

“Rakyat ini, dari sekecil-kecil sehingga sebesar masalah akan mencari kita (wakil rakyat).

“Sabtu dan Ahad pun tidak cuti kerana pelbagai program dihadiri, turun padang dan sebagainya. Tidak kiralah program khatan beramai-ramai, perasmian acara, kemudahan dan infrastruktur dan banyak lagi.

“Namun, mereka terkejut mendengar jawaban saya, kerana ini semua bukan kerja wakil rakyat. Kita bertanggungjawab gubal dasar. Mungkin pendekatan mereka ambil lebih ke hadapan, tetapi, tidak mengapa kerana inilah perbezaan kita dengan negara lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pengarah Biro Mobilisasi (Parti Amanah Negara) Amanah Nasional itu terdahulu hadir ke Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani): Kebun Komuniti Kampung Batu Lima dan Kembali Ke Sekolah – Gunting Rambut Percuma di Kampung Batu Lima, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohd. Sany menang kerusi Parlimen Hulu Langat dengan 58,380 undi (undi majoriti 14,888) menewaskan lima calon lain dari Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan) dan Bebas.

Mohd. Sany berkata, isu utama di kawasannya adalah infrastruktur dan kemudahan jalan raya yang memerlukan penambahbaikan menyeluruh selain masalah banjir yang kerap berlaku.

“Kebanyakan jalan raya dalam kawasan saya masih menggunakan jalan lama. Memandangkan Hulu Langat berdekatan dengan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya selain pertumbuhan penduduk yang pesat, kami perlukan akses jalan raya yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu berharap Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan menambah bangunan baharu dan bilik darjah di sekolah dalam kawasan bagi menyelesaikan isu kesesakan bilik darjah.

“Sebenarnya, sekolah di sini tidak cukup. Satu bilik darjah sahaja pun sudah mencecah lebih 50 murid. Jadi, saya mahu kerajaan fikirkan inisiatif menambah bilik darjah.
“Saya tidak mahu lagi melihat murid sekolah bersesak dalam kelas sehingga menjejaskan tumpuan mereka dalam sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya