PETALING JAYA: Pengalaman lebih sedekad membangunkan kerjaya muzik di pentas antarabangsa membuatkan penyanyi, Yuna, teruja membawakan sebuah persembahan berkonsepkan magis menerusi showcase Etherealis.
Sepanjang 90 minit persembahan, Yuna atau Yunalis Mat Zara’ai, 38, bakal menyanyikan deretan lagu hit baharu dan lama secara intim buat peminat pada 15 dan 16 Februari ini.
“Memang saya sudah berhasrat mahu mengadakan sebuah persembahan khas buat peminat. Saya berbincang dengan pasukan dan kami ambil keputusan untuk mengadakan showcase yang sangat istimewa ini.
“Sesuai dengan nama Etherealis , konsep showcase ini pula akan bertemakan magis yang sangat berbeza.
“Kami pilih Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) sebagai lokasi showcase kerana tempatnya selesa, kusyen empuk dengan suasana lebih intim,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah penyanyi Crush itu lagi, pembeli tiket VIP1 dan VIP 2 bakal menerima layanan lebih istimewa seperti mempunyai ruang rehat eksklusif, hidangan makanan sebelum acara dan sesi meet and greet.
“Bagi mereka yang sudah membeli tiket VIP dengan harga mahal, saya ingin meraikan mereka dengan menyediakan ruangan eksklusif siap dengan makanan. Mereka boleh lepak di sana sebelum persembahan bermula.
“Ini budaya yang mahu saya mulakan di Malaysia agar peminat rasa lebih dihargai. Saya mahu konsert ini menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan,” jelasnya.
Tiket showcase yang bakal berlangsung di Stage 1 Theater, PJPAC ini dijual bermula harga RM185 sehingga RM785 untuk VIP. -UTUSAN