PETALING JAYA: Semua bakal haji musim 1446H/2025M diwajibkan untuk menerima suntikan vaksin Meningococcal sebagai syarat menunaikan haji selaras dengan ketetapan Kerajaan Arab Saudi.
Vaksin Covid-19 dan vaksin influenza turut diwajibkan kepada kumpulan sasar tertentu.
Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan berkata, vaksin Covid-19 dan influenza diwajibkan kepada bakal haji berumur 65 tahun ke atas serta individu yang dikategorikan berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan.
“Bakal haji yang tergolong dalam kumpulan sasar boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih melalui janji temu yang ditetapkan.
“Senarai 247 klinik kesihatan di seluruh negara boleh diakses melalui aplikasi MySejahtera atau laman rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my,” katanya.
Janji temu bagi vaksin Covid-19 boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari 2025, dan suntikan boleh diperoleh bermula 17 Februari 2025. Notifikasi peringatan janji temu akan dihantar melalui aplikasi MySejahtera sehari sebelum tarikh janji temu.
Selain itu, bagi bakal haji yang bukan dalam kumpulan sasar, mereka masih boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara sukarela di fasiliti kesihatan berkaitan setelah mendapat konsultasi daripada pegawai perubatan.
Sebelum ini, Tabung Haji (TH) turut mengumumkan bakal haji berumur 65 tahun ke atas serta individu berisiko tinggi perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza di fasiliti swasta yang tersenarai dalam aplikasi MySejahtera atau di fasiliti swasta yang boleh memuat naik Sijil Digital Vaksinasi ke aplikasi tersebut.
Selaras dengan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini, bakal haji warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih.
Janji temu bagi vaksin influenza boleh dibuat melalui MySejahtera bermula 14 Februari 2025 dan tarikh janji temu akan diberikan bermula 18 Februari ini.
Kementerian akan terus bekerjasama dengan TH bagi memastikan pelaksanaan Perkhidmatan Vaksinasi Bakal Haji 1446H/2025M berjalan dengan lancar.
Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan maklumat terkini dan panduan berkaitan vaksinasi untuk bakal haji boleh diajukan kepada Kementerian Kesihatan atau TH. – UTUSAN