JOHOR BAHRU: Johor komited memastikan sembilan sungai yang dikategorikan sebagai tercemar di negeri ini dapat dibersihkan sepenuhnya.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak RM7 juta diperuntukkan untuk membersihkan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau pada tahun ini.
“Daripada 14 sungai tercemar yang dilaporkan sebelum, kita telah kurangkan kepada sembilan, ini adalah satu trend positif.
“Justeru, kita perlu terus berusaha dan melipatgandakan strategi melibatkan pelbagai pihak untuk memastikan sifar sungai tercemar di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar pada program Southern Volunteers (VS) Go Green@Johor Bersih Peringkat Negeri di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau di sini, semalam.
Pada Julai 2024, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dilaporkan berkata, sembilan daripada 25 sungai di Johor Bahru diklasifikasikan tercemar.
Ia membabitkan Sungai Danga, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.
Tambah Onn Hafiz, peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membersihkan dua sungai iaitu Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu.
“Kerajaan negeri sasarkan keluarkan dua sungai ini daripada senarai tercemar dengan kerja pembersihan dan rawatan kualiti air supaya tahap kualiti air dapat dipertingkatkan.
“Dua sungai ini kurang sumber air mentah dan air yang mengalir adalah air kegunaan perumahan dan industri yang menyebabkan tahap air itu berada di tahap keempat ke atas, bererti tahap kotor dan sudah lama dalam senarai tercemar,” katanya. – UTUSAN