Semak Sosma untuk seimbangkan keselamatan negara, hak asasi individu - Saifuddin

Semak Sosma untuk seimbangkan keselamatan negara, hak asasi individu – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail menunjukkan isyarat bagus ketika hadir pada acara Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Beberapa seksyen dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) akan disemak serta diteliti semula bagi memastikan keseimbangan wujud antara keselamatan negara dan hak asasi individu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan semula ini mengambil kira keperluan untuk mengekalkan peruntukan tertentu bagi menangani jenayah terancang dan ancaman keselamatan ekstrem, namun, pada masa yang sama, meneliti aspek keadilan dalam pelaksanaannya.

“Kita nak timbangkan keseimbangan, iaitu antara kewajipan mempertahankan keselamatan negara dan ketenteraman awam serta menghormati hak asasi seseorang individu.

“Perkara ini yang menjadi fokus kepada pembentangan saya (kenyataan Menteri) di Parlimen minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh di sini, hari ini.

Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Kabinet bersetuju agar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) diteliti dan disemak.

Fahmi berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Jemaah Menteri semalam susulan pengumuman pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), pada Khamis.

Menurut Saifuddin, Kabinet dalam mesyuaratnya semalam telah meneliti beberapa aspek penting dalam Sosma antaranya termasuk Seksyen 13 yang berkaitan dengan soal jaminan (bail). 

Katanya, perbincangan Kabinet itu juga turut menilai bagaimana Sosma perlu digunakan dalam kes jenayah terancang seperti gangsterisme ekstrem serta keganasan yang mengancam keselamatan negara.

“Semalam, Jemaah Menteri telah perhalusi aspek di mana misalnya Sosma ini digunakan dalam kes-kes jenayah terancang atau gangsterisme yang tahap ekstrem yang tak terjangkau dek akal tetapi berlaku.

“Atau, ada berlaku jenayah sadis, misalnya, berkaitan dengan ‘terrorism’, aktiviti keganasan yang mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan keselamatan negara.  

“Jadi, ada kewajarannya untuk Sosma ini diguna pakai, namun, terdapat juga seksyen seksyen tertentu yang Kabinet berpendapat perlu untuk ditengok kembali,”katanya.

Kata beliau, semakan ke atas Sosma itu bukan sekadar keputusan Kabinet secara tiba-tiba, tetapi, hasil sesi libat urus yang telah dijalankan secara berterusan oleh Kementerian Dalam Negeri sejak dua tahun lalu.

“Sebenarnya, sepanjang dua tahun saya duduk di Kementerian Dalam Negeri sesi sesi libat urus ini kami lakukan secara berterusan. Kami adakan bengkel kami adakan perbincangan kami panggil pakar-pakar (bincang mengenai Sosma),” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya