KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hanya akan memberi penjelasan mengenai isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat selepas kes tersebut selesai di mahkamah.
Perdana Menteri berkata, beliau telah memberi jaminan terdahulu bahawa isu itu akan dijawab di Parlimen apabila tiba masanya.
“Tak jawab Adendum, saya dah bagitau, nak jawab macam mana, kes mahkamah. Selesai kes mahkamah saya jawab, saya nak tengok Ketua Pembangkang (Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin) hadir atau tidak.
“Nak lari daripada mana? Kamu boleh jerit banyak mana pun. Saya tahu faktanya, tapi nak suruh singgung kedudukan Raja, saya tak boleh.
“Dalam hal ini, boleh periksa saya memang (ada) hubungi (Majlis) Raja-Raja,” katanya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hamzah berkenaan titah adendum.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman turut menjelaskan bahawa urusan semakan kehakiman dan pengampunan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa mahkamah serta Lembaga Pengampunan negeri masing-masing.
Kata Azalina, permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu telah membenarkan prosiding itu diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Oleh kerana perkara ini masih dalam pertimbangan mahkamah, ia tidak boleh dibincangkan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(g),” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan bahawa keputusan untuk tidak membincangkan isu Titah Adendum adalah berdasarkan prinsip pemisahan kuasa yang diamalkan.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membolehkan bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan. – UTUSAN