SHAH ALAM: Masjid dan surau di negeri ini tidak dibenarkan menggunakan khidmat imam dari negara lain bagi pelaksanaan solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, larangan tersebut kekal seperti tahun-tahun lalu dan mengarahkan masjid dan surau mengutamakan khidmat imam tempatan.
“Kita cadangkan supaya imam-imam ini diambil daripada penuntut tahfiz tempatan yang ada di Selangor. Imam luar tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Untuk rekod, ini adalah tahun ke-10 larangan itu dikuatkuasakan sejak 2015 seperti yang ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Sebelum ini, masjid dan surau di Terengganu dan Kelantan dilaporkan tidak dibenarkan menggunakan imam dari luar negara untuk solat tarawih.
Justeru, Mohamad Fahmi turut mengingatkan semua masjid dan surau supaya menjemput penceramah yang menerima tauliah di Selangor untuk menyampaikan takzirah atau ceramah sepanjang Ramadan ini.
“Orang ramai disarankan membuat semakan pada pautan MAIS sekiranya penceramah tersebut diragui tauliahnya. Maknanya, kalau pergi masjid dan ada orang beri ceramah, kita minta nama dia (penceramah) dan semak di pangkalan data e-tauliah MAIS.
“Kalau ada sebarang kecurangan berlaku boleh laporkannya kepada saya, tiada masalah. Tetapi, kita harapkan semua pihak mematuhi peraturan yang ada terutama bulan Ramadan dan jangan politikkan isu yang tidak sepatutnya,” tegasnya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, program Ihya Ramadan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan diteruskan seperti tahun sebelum ini.
“Tahun, ada lebih kurang 15 hari berbuka puasa dengan Tuanku dengan antaranya juga Tuanku akan memberikan sumbangan dan merasmikan masjid.
“Selain itu, pejabat saya sendiri akan buat program ‘Selangor Beriktikaf’ dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan kita akan pilih antara 20 hingga 30 masjid. Pada satu malam daripada malam terakhir, kita wujudkan program iktikaf daripada subuh hingga ke isyak,” ujarnya. – UTUSAN