Selamatkan Tasik Bera

Selamatkan Tasik Bera

TASIK Bera merupakan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama Malaysia yang perlu terus dilindungi dan dipulihara agar ekosistemnya tidak musnah. - MINGGUAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASIK Bera, sebagai Tapak Ramsar pertama negara, kini menghadapi ancaman serius terhadap kelestarian alam semulajadi. Pencerobohan habitat, pemburuan haram dan kekurangan kajian saintifik adalah cabaran besar yang memerlukan tindakan segera agar ekosistem berharga ini tidak musnah dan kekal sebagai warisan alam yang tidak ternilai harganya.

BERA: Tasik Bera, yang diiktiraf sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama di Malaysia, kini berada di ambang kerosakan.

Ekosistem semula jadi yang berharga ini, perlu dipulihkan untuk memastikan ia tidak le­nyap dari peta alam sekitar negara dan bagi memastikan tasik semula jadi itu tidak ‘nazak’ dan musnah keseluruhan ekosistemnya seperti Tasik Chini.

Sebagai tapak Ramsar pertama diwartakan pada 1995, Tasik Bera sepatutnya sudah memiliki maklumat saintifik lengkap tentang flora, fauna, ekologi, dan kesan sosio-ekonomi untuk menjadi rujukan antarabangsa dan panduan pengurusan Tasek Bera yang baik.

AHMAD Ismail meninjau tumbuhan akuatik yang merupakan keunikan di Tapak Ramsar Tasik Bera.

Namun, walaupun lebih 30 tahun berlalu, kajian dan penyelidikan saintifik mendalam masih terhad, menyebabkan pengurusan dan pemeliharaan kawasan ini terjejas.

Tanpa maklumat saintifik yang lengkap tentang Tasik Bera, pengurusan yang cekap tidak dapat dilaksanakan malah penduduk tempatan di situ tidak mendapat manfaat terbaik dan kelestarian ekosistem Tasik Bera tidak terjamin.

Hingga kini, kajian saintifik masih berkurangan dan terhad kepada kajian ringkas tentang flora, fauna, ekologi dan sosio­ekonomi.

Ekosistem tasik paling kurang maklumat tentang kualiti air yang perlu dilaporkan dari semasa ke semasa.

Ekosistem Tasik Bera
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, Pahang kaya dengan kepelbagaian biologi yang menyokong pelbagai ekosistem, termasuk Tasik Bera yang menyimpan nilai tinggi dalam biodiversiti dan ekonomi.

Ia menjadi habitat kepada lebih 100 spesies ikan, 328 spesies alga, 64 spesies zooplankton, 119 spesies burung, dan spesies reptilia serta amfibia terancam.

Bumi Pahang turut dilengkapi keindahan memukau Taman Negara, Sungai Pahang, Cameron Highlands, Bukit Fraser, taman laut, ekosistem bakau dan lain-lain termasuk Tasek Bera yang begitu penting dan merupakan Tapak Ramsar pertama Malaysia serta mempunyai kepentingan antarabangsa.

“Tasek Bera mesti dilindungi dan dipulihara memenuhi kriteria sebagai Tapak Ramsar. Pihak pengurusan Tapak Ramsar bertanggungjawab memantau semua sembilan kriteria demi kelestarian ekosistem Tasek Bera.

“Pihak PEM memberikan perhatian kepada kepentingan Tapak Ramsar. Menyedari tekanan yang mungkin berlaku dan kurang maklumat saintifik tentang Tasek Bera, siri seminar dilakukan pihak persatuan.

“PEM mendapati penyelidikan dan pemantauan berterusan mesti segera dilakukan untuk mendapat maklumat lengkap tentang kepelbagaian biologi Tasek Bera. Walaupun sudah 30 tahun Tapak Ramsar, maklumat saintifik masih berkura­ngan. Aktiviti penyelidikan yang teratur mesti di bawah kawalan pihak pengurusannya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

JETI di Kampung Orang Asli Limbahan, Tasik Bera yang menjadi lokasi tumpuan pemancing dan aktiviti bot turut sunyi apabila tasik itu ditutup kepada pelawat.

Di Malaysia terdapat tujuh tapak Ramsar dan Tasik Bera diwartakan pada 10 Mac 1995, manakala Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai diisytiharkan pada 31 Januari 2003. Tapak Ramsar (kelima) di Sarawak diisytiharkan pada 8 November 2005 manakala keenam dan ketujuh masing-masing diisy­tiharkan pada 2008 dan 2013 di Lower Kinabata­ngan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands, Sabah.

Semua tanah lembap di Malaysia meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai yang menjadi habitat penting kepada kepelbagaian spesies flora dan fauna terutama burung air yang bermigrasi dan mempunyai kepentingan antarabangsa.

Tapak Ramsar dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.

Tasik Bera adalah tasik semula jadi terbesar di Malaysia yang diwartakan sebagai tapak Ramsar bertujuan mengekalkan ciri-ciri ekologi tanah lembap dan kemampanan sumber-sumber istimewa terdapat padanya.

Penglibatan Komuniti
Tasik Bera juga merupakan kawasan penempatan tradi­sional Orang Asli kaum Semelai sejak lebih 600 tahun lalu yang mendiami 14 kampung di sekitarnya. Kira-kira 15 peratus daripada 3,000 penduduknya bergantung kepada tapak Ramsar untuk kelangsungan hidup seperti hasil hutan berdekatan dan sumber ikan.

Tasik Bera juga menjadi tumpuan pelancong yang berminat dengan alam semula jadi seperti merintis hutan, memancing, memerhati burung, menyusuri tasik dan lain-lain aktiviti berkaitan Orang Asli.

Tapak Ramsar Tasik Bera merupakan habitat kepada lebih 100 spesies ikan. Ada ikan yang mempunyai nilai komersial dan bermasalah kepada ekosistemnya. Arowana antara ikan yang mempunyai nilai tinggi di Tasik Bera.

Tapak Ramsar nombor 712 itu juga menjadi habitat penting kepada 328 spesies alga, 19 spesies tumbuhan akuatik, 64 spesies zooplankton, 119 spesies burung dan ada spesies reptilia dan amfibia yang terancam.

Ahmad berkata, penglibatan penduduk tempatan Orang Asli etnik Semelai penting demi kelestarian Tasik Bera sebagai tapak Ramsar pertama di Malaysia.

“Bagi mendapat sokongan mereka, tiga perkara penting perlu dilakukan iaitu, pembangunan pendidikan dan kesedaran awam, ekonomi orang Semelai dan ketiga, amalan tradisi orang Semelai dalam kelestarian alam.

“Kerajaan negeri perlu melihat seluruh daerah Bera dalam merancang pembangunan masa hadapan dengan mengambil kira kelestarian ekosistem Tasek Bera dan nasihat pakar perlu.

“Program pemulihan ekosistem terosot terutama kawasan zon penampan mesti dilakukan segera melalui kesefahaman antara jabatan-jabatan terlibat dalam pengurusan Tapak Ramsar iaitu Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Kawasan zon penampan Tasek Bera yang terosot boleh ditanam dengan pokok hutan yang berkepentingan kepada ekologi Tasik Bera dan orang Asli Semelai. Selain pokok-pokok liar hutan, pokok buah buahan nadir yang sesuai boleh diperkenalkan. Nasihat daripada Jabatan Perhutanan, Perhilitan dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) diperlukan,” ujarnya yang menyatakan syarikat korporat tempatan juga perlu terlibat dalam program perlindungan dan pemuliharaan Tapak Ramsar Tasek Bera.

“Jawatankuasa Penasihat Khas mungkin perlu ditubuhkan dan perlu diadakan tabung amanah pengurusan Tapak Ramsar,” katanya.

Eko-pelancongan
Setiausaha Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Bera, Khairol Amin Mohd. Tahir berkata, pihak berwajib seperti syarikat pengendali baharu dilantik, Kuantan 188 mempunyai tanggungjawab besar memulihkan Tapak Ramsar Tasik Bera sebagai lokasi eko-pelancongan negara setelah lebih tujuh tahun sepi tanpa kehadiran pelancong.

Katanya, penduduk daerah Bera sudah lama menantikan destinasi itu dikendalikan pengurusan cekap dan berintegriti kerana rangkaian faedahnya dapat dinikmati penduduk terutama penduduk Orang Asli etnik Semelai.

“Pihak persatuan bersama Komuniti Orang Asli yang mendiami di sekeliling Tasik Bera seperti dari Kampung Gedubang, Kampung Pelimbahan dan lain-lain berkolaborasi memajukan tasik ini.

“Secara legasinya, pihak persatuan dan komuniti setempat perlu mendapatkan kebenaran pihak konsesi dilantik untuk menjalankan aktiviti pelancong di Tasik Bera,” katanya.

Sistem pengurusan terbaik perlu diwujudkan supaya Tapak Ramsar Tasik Bera dapat menjana pendapatan terutama daripada segi kawalan kelestarian tasik, penyelidikan dan pendidikan yang menjamin faedah kepada penduduk tempatan.

Aktiviti menarik
Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Orang Asli Kampung Gedubang Tasek Bera, Murni Mohamad berkata, pelbagai aktiviti dirancang seperti lawatan bot berpandu dengan memberikan pandangan tentang kekayaan biodiversiti dan story-telling sejarah kawasan tersebut.

Ahli komuniti berpengalaman diperlukan dalam mengemudi laluan air di Tasek Bera kerana mereka lahir dan membesar di tasik air tawar terbesar negara ini.

“Kami mencadangkan, menawarkan penyewaan kayak untuk pelawat, membolehkan mereka meneroka perairan tasik dengan cara mesra alam.

“Kami ingin meneroka kemungkinan menganjurkan program kebudayaan di Tasek Bera Resort yang mana pengunjung boleh mempelajari tradisi dan cara hidup masyarakat,” katanya yang juga Naib Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan daerah Bera.

Kerjasama dengan Kuantan 188 penting untuk memastikan semua aktiviti dijalankan dengan selamat, bertanggungjawab, dan selaras dengan garis panduan pemuliharaan alam sekitar Ramsar dan pelancongan.

Beliau percaya perkongsian ini akan memberikan manfaat bersama, kerana ia akan memperkaya pengalaman pengunjung di Tasik Bera Resort di samping memperkasa masyarakat Orang Asli etnik Semelai melalui inisiatif pelancongan mampan.

Batin Kampung Limbahan Tasik Bera, Mohamad Nohing, 70, berkata, Tarian Balai etnik Semelai Tasik Bera yang menjadi entiti penting kaum minoriti itu bagi menyambut tetamu kehormat ke tasik semula jadi tersebut semakin sepi kerana lokasi terbabit semakin kurang dikunjungi.

Menurutnya, tarian balai merupakan budaya masyarakat di sini sebagai menghormati tetamu yang membabitkan mainan peralatan muzik seperti dua rebana dan dua gong.

“Irama muzik ini diiringi dengan lagu dinyanyikan oleh seorang penyanyi bersuara merdu dalam bentuk pantun menjadi buah tangan kepada pelancong untuk datang lagi mengunjungi Tasik Bera.

“Lagu digarap menceritakan tentang alam semula jadi, percintaan remaja, cabaran kehidupan, semangat roh, tanggungjawab menjaga keluarga, pemeliharaan tasik dan lain-lain.

“Tingkah bunyi gabungan dua gong dan dua rebana akan diiringi dengan beberapa buah lagu antaranya seperti burung buai, berterong rotok, yoh hitam, dan fesyen baru,” katanya.

Batin Pos Iskandar, Noerya Abas, 54, mengakui etnik Semelai yang menjadi penduduk tetap, dulu kini dan selamanya begitu terkesan apabila Tasik Bera tidak lagi menjadi pilihan pelancong tempatan apatah lagi antarabangsa.

Menurutnya, ketika Tasik Bera meriah dikunjungi pelancong dalam dan luar negara, komuniti Semelai menerima limpahan ekonomi jualan kraf tangan dan persembahan sewang.

Masyarakat turut menganjurkan sendiri dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hari Ramsar Sedunia pada Februari dengan mengadakan ceramah, sukaneka, pertandingan melukis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya