MELAKA: Pelbagai kempen promosi dan program akan dirangka lebih awal bagi merancakkan penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang berlangsung pada 27 hingga 29 September ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri menubuhkan Sekretariat World Tourism Melaka (WTM) yang bertindak sebagai badan induk bagi menyelaras, memantau dan membangunkan sektor pelancongan, kebudayaan dan kesenian.
“Saya meletakkan harapan tinggi agar pelan ini dapat memberi nafas baharu menerusi aktiviti pelancongan secara menyeluruh dan komprehensif. Ini termasuk mempromosi program dan aktiviti sektor pelancongan, kebudayaan dan kesenian yang disusun oleh kerajaan negeri mahupun pihak kementerian.
“Saya mahu sekretariat ini memainkan peranan signifikan bukan hanya mencakupi pada pelaksanaan Pelan Strategik Pelancongan Negeri Melaka tetapi bertindak proaktif meningkatkan sumber pendapatan dan ekonomi melalui sektor pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ab. Rauf mengingatkan setiap penjawat awam negeri membudayakan prinsip integriti dan akauntabiliti.
Tegasnya, ia penting dalam memastikan imej pentadbiran kerajaan negeri kekal bersih di samping memperkukuh kepercayaan rakyat.
“Saya tegaskan saya amat menitik berat pembudayaan prinsip integriti dan akauntabiliti oleh segenap lapisan pangkat. Prinsip ini memastikan imej pentadbiran kerajaan negeri terus cemerlang sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kualiti perkhidmatan awam,” ujarnya. – UTUSAN