Sekolah Cina, majoriti murid Melayu

Sekolah Cina, majoriti murid Melayu

MURID-murid tahun satu yang majoritinya Melayu dengan tiada seorang pun kanak-kanak berbangsa Cina pada hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Aik, Mata Ayer, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Aik di sini menarik perhatian apabila lebih 90 peratus murid di sekolah berkenaan adalah berbangsa Melayu.

Malah, untuk sesi pendaftaran tahun satu, daripada keseluruhan 23 murid, tidak ada seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang mendaftar, sebaliknya murid Melayu dan Siam.

Secara keseluruhan, sekolah yang terletak di Mata Ayer itu mempunyai 190 murid terdiri daripada 93 berbangsa Melayu, (69 Siam), (19 Cina), (5 India) dan selebihnya lain-lain kaum.

Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, sekolah tersebut agak unik kerana merekodkan jumlah murid kaum lain lebih ramai berbanding kaum Cina.

Katanya, ia berkemungkinan disebabkan lokaliti kawasan itu yang didiami majoriti bangsa Melayu dan Siam.

“Kawasan ini mungkin kurang didiami oleh kaum Cina, disebabkan itu lebih ramai ibu bapa bangsa lain mengambil kesempatan menghantar anak mereka ke sekolah ini memandangkan kedudukannya lebih dekat.

“Saya rasa, faktor lokaliti ini menjadi antara penyebab mengapa SJKC Kong Aik tiada murid tahun satu berbangsa Cina pada tahun ini,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Perlis mempunyai sebanyak 74 buah sekolah, 10 daripadanya adalah SJKC.

Rose Aza berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tiada halangan sekiranya ibu bapa berhasrat menghantar anak mereka mengikuti persekolahan di SJKC atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Kita memang mengambil maklum mengenai perkembangan ini dan tiada halangan buat ibu bapa untuk menghantar anak mereka mengikuti persekolahan di sana,” katanya.

Katanya, perkembangan yang berlaku juga menjadi platform terbaik bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid sejak di peringkat sekolah rendah.

“SJKC dan SJKT juga masih tertakluk kepada kurikulum sama yang diguna pakai di sekolah-sekolah lain dan saya melihat ini satu perkembangan yang bagus buat anak-anak ini dalam memupuk perpaduan antara kaum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN