Sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah dalam kebakaran

Sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah dalam kebakaran

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dalam kejadian di  Kampung Parit Dato Onn, Pulai Sebatang, Pontian, Johor awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN:  Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila selepas rumah didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Parit Dato Onn, Pulai Sebatang, di sini awal pagi tadi.

Mangsa kebakaran, Muhammed Zuraini Ahmad, 55, berkata, rumah itu didiaminya bersama ibu, Minah Mijan, 76,  dan anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Muhammed Fadli, 25 , dan anak saudara, Muhammad Faiz Aidil Muhd. Azizan, 22 tahun.

Dia memberitahu, kejadian berlaku kira-kira pukul 2  pagi, dipercayai bermula dari bahagian dapur dan merebak cepat sehingga membakar seluruh rumah.

“Berikutan api semakin marak, saya segera mengetuk bilik emak dan memintanya keluar segera serta anak saudara yang tidur di bilik bersebelahan.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk dokumen-dokumen penting namun saya bersyukur semua ahli keluarga dapat segera keluar termasuk Muhammed Fadli yang ketakutan dan telah menyembunyikan diri di kebun di belakang rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pontian merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Kawasan Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan turut meluangkan masa melawat mangsa pagi tadi.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba Pontian Baru, Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.05 pagi dan sampai ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Katanya, kejadian melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 70 x 25 kaki dengan kemusnahan kebakaran dianggarkan 85 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya