BERA: Kajian inventori, genetik dan ekologi flora serta fauna Tasik Bera perlu dilakukan segera bagi membantu pengurusan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama Malaysia itu melaksanakan perlindungan, pemulihan, pemuliharaan dan pengurusan habitatnya.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, maklumat lengkap senarai flora dan fauna perlu disediakan kerana Tasik Bera yang merupakan tasik semula jadi terbesar negara adalah Tapak Ramsar.
“Maklumat flora dan fauna Tasik Bera penting untuk memantau kualiti populasi haiwan dan tumbuhan di tasik berkenaan terutama jika terdapat spesies invasif seperti Mimosa Pigra atau Duri Gajah dan ikan-ikan asing yang berbahaya kepada spesies serta habitat tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, Tasik Bera kini berada di ambang kerosakan dan ekosistem semula jadi yang berharga ini, perlu dipulihkan untuk memastikannya tidak lenyap dari peta alam sekitar negara serta bagi memastikan tasik semula jadi itu tidak ‘nazak’ dan musnah keseluruhan ekosistemnya seperti Tasik Chini.
Ahmad berkata, kajian genetik populasi contoh spesies tertentu perlu dilakukan bagi menjawab soalan berkaitan kualiti populasi haiwan yang terdapat di Tasik Bera.
“Dalam habitat yang terpencil boleh mempengaruhi kualiti populasi haiwan kesan daripada pembiakan haiwan dalam populasi kecil dan habitat yang sempit.
“Kura-kura antara haiwan yang boleh dicadangkan sebagai haiwan model pengaruh habitat ke atas genetik populasi haiwan. Tambahan dalam habitat yang semakin kecil boleh meningkatkan aktiviti penangkapan kura-kura. Ini boleh menyebabkan populasi kura-kura semakin berkurang,” katanya.
Menurutnya, perubahan habitat seperti sedimentasi, hakisan permukaan dan gangguan kawasan pembiakan menambah tekanan kepada populasi kura-kura dan labi-labi serta memberikan kesan kepada genetik populasi haiwan berkenaan.
“Setakat ini terdapat enam spesies kura-kura dan tiga spesies labi-labi di Tasik Bera yang perlu diberikan perhatian segera sebelum haiwan tersebut menghadapi kepupusan.
“Gangguan habitat dan penangkapan berlebihan oleh manusia mengancam populasi kura kura. Jadi, dengan data yang lengkap proses pemantauan, perlindungan, kajian saintifik dan pendidikan serta kesedaran awam mudah dilaksanakan,” jelasnya.
Sementara itu, Tokoh Budaya dan Kesenian Pahang, Datuk Dr. Aripin Said berkata, Bera dianugerahkan alam semula jadi dan kekayaan seni budaya antaranya Tasik Bera yang perlu dieksploitasi bagi menjana pendapatan rakyat serta kemakmuran negeri.
Menurutnya, kepelbagaian sumber alam semula jadi itu menjadikan daerah ini berpotensi sebagai antara destinasi ekopelancongan pilihan dunia.
“Tasik Bera terkenal sebagai tempat perlindungan kepada lebih 200 spesies burung, 50 mamalia dan 90 spesies ikan selain menjadi habitat kepada pelbagai jenis flora,” katanya. – UTUSAN