PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu melakukan kajian menyeluruh supaya dapat merangka garis panduan kondusif bagi menangani isu buli dalam keseluruhan struktur sektor kesihatan awam.
Kajian menyeluruh itu penting bagi mengenal pasti amalan buli yang mungkin berlaku secara sedar atau tidak dalam budaya kerja di dalam sektor kesihatan sekali gus membolehkan seluruh warga kerja KKM memahaminya dan membantu memupuk persekitaran kerja kondusif dan budaya kerja sihat.
Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Noh Amit berkata, kebanyakan kes buli di tempat kerja mungkin dilakukan oleh kelompok kecil yang berlaku melibatkan pemegang kuasa dan kekananan (senior) di dalam sesuatu organisasi.
Katanya, amalan tidak sihat itu juga sudah menjadi satu budaya bahkan pelakunya mungkin melihat perkara itu sebagai normal sehinggakan mereka tidak lagi merasa empati kepada kumpulan bawahan.
Buli juga berkemungkinan berlaku disebabkan seseorang yang berjawatan itu, mahu orang di bawahnya merasai apa yang mereka mungkin lalui sebelum ini.
“Di sini, penting untuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau KKM mentakrifkan tingkah laku buli dengan melakukan kajian mengenainya sebelum mengeluarkan garis panduan pencegahan dan pengurusan buli tersebut.
“Ia berpotensi akan mengganggu profesionalisme dalam kalangan pengamal perubatan tetapi lebih baik takrifan, kajian dan garis panduannya dibuat supaya dapat menghentikan amalan buli ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin akhbar ini melaporkan amalan buli dalam kalangan pegawai perubatan KKM perlu dinoktahkan bagi mewujudkan suasana kerja kondusif di hospital dan klinik kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) atau doktor pelatih kebiasaannya sering menjadi sasaran gejala buli yang berlaku di hospital.
Mustahak mewujudkan apa yang diistilahkan sebagai just working environment (suasana kerja kondusif) di fasiliti-fasiliti kesihatan bukan sahaja di Kementerian Kesihatan sahaja.
Oktober tahun lalu, Dzulkefly turut memaklumkan KKM akan mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota KKM menerusi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsan (NCEMH).
Garis panduan itu bertujuan meningkatkan kesedaran petugas kesihatan berhubung isu buli di tempat kerja, namun sehingga kini tiada perkembangan baharu berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Noh berkata, sistem birokrasi dari top to bottom (atas ke bawah) juga secara tidak sedar mewujudkan amalan buli di tempat kerja secara tidak langsung.
“Ini berlaku apabila orang bawahan menjadi yes bos (pak turut). Dalam mereka perlu menyelesaikan kerja hakikinya, bebanan ditambah dengan kerja yang diberikan oleh atasan.
“Oleh sebab itu, pentingnya kajian menyeluruh dalam struktur organisasi itu supaya garis panduan lengkap dapat dikeluarkan sekali gus membolehkan amalan dan budaya kerja baharu dipraktikkan,” katanya.
Tambahnya lagi, amalan buli di tempat kerja biasanya berlaku dalam bentuk lisan yang akhirnya memberi kesan kepada psikologi, motivasi dan produktiviti seseorang mangsa.
Katanya, keadaan itu mengakibatkan interaksi golongan bawahan dengan atasan dan sesama rakan sejawat akan terganggu manakala mangsa akan merasa terpinggir.
“Buli secara lisan ini adalah seperti maki hamun kerana pelbagai alasan namun ia memberi kesan kepada kesejahteraan mental mangsa kerana akan menyebabkan hilang keyakinan diri, kemurungan dan sebagainya.
“Ia juga akan mewujudkan pemikiran negatif tentang tempat kerja, antara mangsa dengan orang atasan dan mangsa dengan rakan sejawatnya,” katanya. – UTUSAN