Segera wujud undang-undang persaingan media sosial

Segera wujud undang-undang persaingan, kod khas pengendali media sosial

Laporan Utusan Malaysia 25 Februari 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Undang-undang persaingan dan kod khas untuk pengendali media sosial perlu diwujudkan dengan kadar segera di negara ini

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, langkah itu pen­ting bagi memastikan pengendali media sosial membayar setiap penerbitan berita yang disiarkan di platform mereka di mana mereka mendapat keuntungan daripadanya.

Katanya, langkah itu juga sekali gus dapat menjamin keadilan dalam ekosistem digital dan menyokong kelangsu­ngan industri media tempatan.

“Kerajaan wajar mempercepatkan penubuhan Kod Perun­dingan Media Berita sebagaimana di Australia.

“Ini dapat memastikan syarikat gergasi teknologi seperti Meta dan Google membayar agensi media tempatan untuk setiap kandungan berita yang disiarkan di platform mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, TikTok dilaporkan mengenakan sekatan terhadap 23 akaun organisasi media sehingga menyebabkan kehila­ngan puluhan juta pengikut.

Susulan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah berhubung dengan TikTok dan dimaklumkan sekatan berpunca daripada laporan kes cabul di Batang Kali hasil pemantauan kecerdasan buatan (AI) pengendali media sosial berkenaan.

Bagaimanapun dalam laporan Utusan Malaysia kelmarin, pelbagai pakar melihat penetapan garis panduan komuniti yang kerap berubah disifatkan sebagai perbuatan buli khususnya untuk syarikat media tempatan yang menggunaan platform media sosial bagi menyampaikan berita.

Kata Ismail, kerajaan pada masa sama perlu wujudkan kod etika dan garis panduan khusus untuk pengendali media sosial.

“Pengendali media sosial se­ring mengubah garis panduan komuniti mereka secara unilate­ral, tanpa ambil kira konteks tempatan, kebebasan media atau kepentingan agensi media tempatan.

“Perubahan ini kadang-kala menekan media tempatan ter­utama dalam aspek kandungan berita, pengewangan dan kebebasan editorial,” jelasnya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, bukanlah satu keperluan bagi kod etika khas untuk pengendali media sosial diwujudkan.

“Kod etika tidak ada kuasa undang-undang dan ha­nya sebagai panduan am. Memadai Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dipinda baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya