PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali mengingatkan agensi berkaitan agar segera melaksanakan pembinaan muka sauk kedua di Kampung Kogopon bagi Loji Rawatan Air Skim Bekalan Air Kecemasan (LRA EWSS) Limbahau.
Beliau berkata, peruntukan bagi pelaksanaan pembinaan muka sauk itu telah diluluskan semasa lawatan Ketua Menteri ke LRA berkenaan pada tahun lalu.
Namun sehingga kini katanya projek tersebut belum dimulakan.
“Jadi saya harap kepada agensi yang berkenaan, memandangkan kamu sudah kemukakan cadangan membina muka sauk kedua maka, laksanakan dengan segera sebelum saya mengamuk lagi.
“Ketua Menteri telah luluskan peruntukan pada Ramadan tahun lalu tapi sampai sekarang projek itu belum dimulakan.
“Selepas saya bising hari itu barulah Kementerian Kewangan lantik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk buat tapi, sehingga kini saya dimaklumkan kerja-kerja di lapangan belum bermula,” katanya semasa mengulas tentang gangguan bekalan air yang akan berlaku di daerah berkenaan pada Mac.
Pada tahun lalu, Papar diisytiharkan sebagai daerah bencana kemarau yang menjejaskan lebih 100,000 penduduk.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, masalah bekalan air di Papar akan menjadi kritikal sekiranya berlaku kemasukan air masin atau kemarau berpanjangan seperti yang berlaku tahun lalu.
Mengulas lanjut katanya, gangguan bekalan air yang dijadualkan berlaku pada 3 Mac hingga 19 April ini mungkin tidak seteruk tahun lalu kerana berlaku fenomena El-Nino yang berpanjangan.
Armizan berkata, keperluan air di Papar adalah lebih 92 juta liter sehari (MLD) namun, pengeluaran air hanya 62 juta MLD. Jika ditambah dengan masalah paip bocor dan air tidak berhasil (NRW), ia akan menyebabkan air yang diterima oleh pengguna berkurang. – UTUSAN