PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diminta segera melaksanakan kerja pasca banjir dan pembaikan kerosakan berikutan penurunan jumlah mangsa di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha pembaikan itu membabitkan koordinasi dan tindakan pelbagai agensi kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan, terutama infrastruktur di kawasan yang terjejas.
“Saya berpuas hati dengan keseluruhan pengurusan bencana di Malaysia Timur setakat ini dan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada badan-badan korporat serta para pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan Nadma serta komuniti setempat yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir serta menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mangsa.
“Saya berharap Nadma akan terus menyusun atur gerak kerja pasca dan pembaikan dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat bagi mempercepatkan pemulihan terutamanya infrastruktur di kawasan yang terjejas.
“Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir tersebut tidak mengancam keselamatan dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh yang lama,” katanya.
Setakat pukul 12 tengah hari semalam, beberapa daerah di Sarawak menunjukkan angka penurunan mangsa banjir kecuali di Beluru yang berlaku peningkatan mangsa iaitu 1,970 keluarga melibatkan 6,269 mangsa masih berlindung di 28 pusat pemindahan sementera (PPS) berbanding 9,296 mangsa melibatkan 2,742 keluarga, minggu lalu.
Di Bintulu mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 3,011 orang yang berlindung di empat PPS.
Di Sabah, sejumlah 989 mangsa masih ditempatkan di enam PPS dan pusat pemindahan kekal (PPK) di empat daerah di negeri itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, bilangan penduduk yang terjejas banjir meningkat kepada 268 orang berbanding 721 orang, kelmarin.
Daerah yang paling terjejas adalah Beaufort dengan 538 mangsa daripada 177 keluarga dipindahkan ke PPK Dewan Selagon dan PPS Dewan Bisaya.
Tambah Ahmad Zahid, orang awam diingatkan untuk terus berwaspada walaupun situasi semakin reda. – UTUSAN