Seberang Perai rekod lebih 100 spesies burung

Seberang Perai rekod lebih 100 spesies burung

SHAIFUL Azhar Abu Bakar (tengah) bersama ahli pasukan menjalankan aktiviti mencerap burung di Taman Rimba, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Lebih 100 spesies burung berjaya direkodkan menerusi aktiviti mencerap haiwan itu anjuran Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) di Seberang Perai di sini, baru-baru ini.

Aktiviti cerapan di bawah Program Survey Senarai Semak Spesies Burung Hutan di Seberang Perai itu menghimpunkan pasukan pemantau yang terdiri daripada sepuluh aktivis, jurufoto dan pemerhati burung dari universiti tempatan yang bekerjasama merekod serta mengemas kini data burung di Pulau Pinang.

Ketua kerja lapangan, Shaiful Azhar Abu Bakar berkata, daripada 100 spesies yang direkodkan, 60 daripadanya dikesan di Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam di Seberang Perai Utara (SPU) manakala selebihnya dijumpai di Taman Rimba Bukit Mertajam di Seberang Perai Tengah (SPT).

“Kita berjaya merekodkan kemunculan kawanan burung muda seperti helang kembara hitam yang didapati bertenggek di sekitar kawasan Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, sekali gus membuktikan bahawa berlaku pertambahan populasi spesies terbabit di situ yang dipercayai turut menjadi habitat pembiakan burung tersebut.

“Kita jangkakan dapat melihat pelbagai lagi spesies burung di lokasi terakhir iaitu di Taman Negeri Bukit Panchor di Seberang Perai Selatan (SPS) dalam program yang berbaki dua hari lagi,” katanya ketika ditemui di Taman Bukit Rimba, semalam.

Sementara itu, penyelaras projek, Dr. Siti Norasikin Ismail berkata, geran untuk menjalankan program tersebut diperolehi daripada Think City iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad.

Katanya, ia bertujuan membolehkan satu laporan senarai semak spesies burung hutan disediakan sebagai bahan rujukan untuk penyelidikan, perancangan pembangunan dan pembangunan polisi termasuk eko pelancongan pada masa depan.

“Pada masa yang sama, projek ini juga sebagai usaha menyediakan satu laporan berkaitan pengetahuan, sikap dan persepsi sekaligus mewujudkan kesedaran pemeliharaan burung dalam kalangan masyarakat di Seberang Perai.

“Untuk itu, kita juga akan menerbitkan bahan cetak se­perti makalah atau risalah ber­kaitan spesies burung hutan, video pendek dan data dalam platfom digital untuk capaian awam yang boleh diakses semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya