Sebak anak tanya bila boleh pulang

Sebak anak tanya bila boleh pulang

PENJARA Wilayah Narathiwat, Thailand. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT, THAILAND: Pe­nyanyi lagu Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin mengakui tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir apabila setiap kali diajukan soalan bila boleh pulang ke rumah oleh dua anaknya.

Eda Ezrin ketika ditemui Utusan Malaysia di Penjara Wilayah Narathiwat di sini berkata, pada setiap Khamis, dia akan bertemu dengan ahli keluarganya kerana hari itu merupakan waktu melawat di penjara wanita.

EDA EZRIN

Ujarnya, kesihatannya berada dalam keadaan baik sepanjang menjalani tempoh tahanan di penjara berkenaan.

Katanya, layanan yang diberikan oleh pihak penjara juga amat baik tanpa sebarang perbezaan daripada segi kewarganegaraan.

Dia berkata, dia menyerahkan segala-galanya kepada Allah menjelang keputusan perbi­caraan yang akan berlangsung di Mahkamah Wilayah Narathiwat, 6 Mac ini.

“Setiap kali anak-anak datang melawat, mereka akan tanya bila saya boleh pulang. Pertanyaan itu membuatkan saya menjadi sebak. Anak-anak dan ahli keluarga menjadi penerus kekuatan saya untuk menghadapi dugaan ini.

“Ketika ini saya hanya mampu berdoa dan menyerahkan semua perkara itu kepada Allah supaya dilepaskan daripada tuduhan tersebut (memiliki pil kuda). Selain itu, saya berharap peminat dapat menitipkan doa supaya dibebaskan,” katanya sebak.

Mah­kamah Wilayah Narathiwat menetapkan keputusan kes dadah melibatkan Eda Ezrin dan suami serta empat lagi rakannya pada 6 Mac ini.

Keputusan itu dibuat hakim selepas mendengar keterangan semua tertuduh dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding perbi­caraan yang berlangsung tiga hari iaitu pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Terdahulu, Eda Ezrin dan suaminya serta empat lagi rakan didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Eda Ezrin dan suami, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama empat lagi tertuduh iaitu Erdieka Mohd. Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.

Bagaimanapun, mereka tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan sendiri oleh Hakim Yuan Khao Kham.

Sementara itu, Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara itu.

Tambah Eda Ezrin, untuk Ramadan ini, pihak penjara akan mengasingkan tahanan dan banduan yang berpuasa bagi membolehkan mereka menjalani ibadat dengan baik.

“Selain belajar agama, mengaji al-Quran, saya turut mempelajari bahasa Thailand walaupun belum dapat bertutur dengan lancar. Bagaimanapun, saya dapat memahami apa yang hendak disampaikan dalam bahasa Thailand,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya