PETALING JAYA: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau telah menutupi jasad Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menggunakan baju sejuknya selepas kanak-kanak autism itu ditemukan di atas batu pasir aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai.
Koperal Mohammad Hunter El Arash Jeanawie Untam, 35, yang juga anggota Balai Polis Petaling Jaya berkata, tindakan untuk menutupi jasad dengan baju sejuk itu adalah bagi melindungi jasad Zayn Rayyan dihampiri dan diambil gambar oleh orang awam.
Katanya, kawasan itu telah dipenuhi orang awam selepas jasad kanak-kanak autisme itu ditemukan oleh beberapa penduduk semasa operasi mencari berlangsung pada malam 6 Disember 2023.
“Saya dengar jeritan orang awam mengatakan arwah (Zayn Rayyan) telah dijumpai, jadi saya bersama sekumpulan orang awam menyusuri anak sungai dalam keadaan gelap itu sebelum melihat keadaan arwah yang tidak sedarkan diri dan mengiring di atas batu pasir.
“Kawasan ketika itu dipenuhi orang awam, jadi saya bertindak membuka ‘sweater’ saya untuk tutup jasad arwah. Kami melindungi jasad arwah daripada dihampiri dan diambil gambar oleh orang awam,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.
Saksi pendakwaan ke-13 itu turut memberitahu, ‘sweater’ itu kemudian diberikan kepada pihak forensik.
Selain itu, Mohammed Hunter turut memberitahu beliau terdengar jeritan orang awam yang mengaku dirinya ayah Zayn Rayyan semasa menunggu ketibaan pihak forensik tiba di lokasi penemuan itu.
“Saya dengar seorang orang awam itu menjerit “siapa bunuh anak aku, aku nak peluk anak aku” dan saya mengarahkan orang awam menghalang tindakan ayah dia untuk menghampiri mayat,” katanya. – UTUSAN