“SAYA sudah tidak kejar watak utama.”
Kata primadona, Erra Fazira ketika ditanya apakah yang diimpikannya selepas tiga dekad bergelar pelakon. Ujar Erra, lakonan masih menjadi cinta pertama dan mustahil baginya untuk bersara seawal ini.
Cuma, pada usia 51 tahun, Erra mahu menghabiskan lebih banyak waktu untuk anaknya, Engku Aleesya Engku Emran membuatkannya hanya mengambil tawaran watak sampingan yang tidak memerlukanya berlama-lama di set penggambaran.
“Saya masih berlakon dan baru sahaja menyelesaikan penggambaran telemovie sempena hari raya untuk Astro Ria. Betul, saya sedikit selektif kerana mahu menghabiskan masa dengan keluarga.
“Pada usia sebegini saya lebih cenderung bawa watak pembantu kerana kekangan waktu. Kalau watak utama, saya perlu berada di set hampir setiap masa. Jadi kalau ada yang mahu beri tawaran berlakon, watak sampingan sahaja saya terima. Watak utama bagi orang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai pelakon wanita hari ini yang dilihat kurang menonjol berbanding bintang filem lelaki, Erra berharap ruang dan peluang untuk membawa naskhah yang mengangkat kebolehan pelakon muda wanita dapat diketengahkan.
Mengimbau kembali perjalanannya, Erra bersyukur kerana filem pertamanya, Sembilu (1994) meledak sekali gus meletakkannya sebagai bintang filem yang dikagumi pada zamannya.
Tegas Erra, kejayaannya ketika itu adalah berkat sokongan rakan pelakon dan juga pengarah, Datuk Yusof Haslam yang mahu memberi kepercayaan kepadanya.
“Saya tidak rasa kita kekurangan pelakon wanita berbakat. Mungkin bakat mereka perlu dibina dan digilap. Persona saya sebagai bintang bukan datang tiba-tiba, tapi digilap dalam Sembilu dengan bantuan Ziana Zain dan Awie.
“Saya melalui jalan panjang sebelum tawaran Sembilu sampai kepada saya. Ia proses yang mengambil masa.
“Pelakon wanita hari ini juga masih belum cukup ranum. Jika kita angkat mereka terlalu cepat akan merosakkan kegilapan. Berilah mereka cukup ruang untuk berkembang,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Erra turut berharap penerbit, pengarah dan penulis skrip akan lebih berani untuk menampilkan wanita dalam karakter yang lebih kreatif dan bukan hanya bergantung kepada watak dicurangi semata-mata.
“Watak wanita juga menjadi faktor mengapa pelakon kita tidak menonjol. Kalau asyik masalah rumah tangga atau perempuan kecundang sahaja sampai bila mahu berkembang?
“Kalau tidak mampu sehebat filem Salt lakonan Angelina Jolie, jangan berat sebelah, angkatlah juga watak perempuan sebagai hero. Dulu saya sudah perjuangkan isu ini tapi mereka kata watak begini tidak ramai mahu tengok.
“Sebelum penonton bosan marilah kita berikan warna yang berbeza,” tambahnya.-UTUSAN