Saya terima jika dibanding-bandingkan dengan bapa - Dasha Logan - Utusan Malaysia

Saya terima jika dibanding-bandingkan dengan bapa – Dasha Logan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Mendiang pernah berjenaka, katanya dia berkemungkinan tidak akan sempat melihat zuriat saya.”

Itu antara kata-kata akhir penyanyi kumpulan Alleycats, Datuk Loganathan Arumugam kepada anaknya, Dasha Logan sebelum mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 2007 akibat kanser.

Kata Dasha, mendiang bapanya meninggalkan banyak nasihat yang memberi kekuatan kepada dirinya sehingga ke hari ini.

“Pemergian bapa saya berlaku cepat. Sebelum bapa meninggal dunia, beliau minta saya pulang ke rumah dan mandi.

“Beliau ‘pergi’ apabila saya kembali ke hospital untuk menemuinya selepas itu.

“Beliau berpesan, minta saya jangan risau, kerana walau apa pun yang berlaku, dia akan tetap ada bersama saya,” kongsinya.

Penyanyi berusia 37 tahun itu menceritakan kembali momen tersebut sewaktu pelancaran album EP khas untuk duo legenda Alleycats berjudul Legasi.

Dasha mengambil hampir enam tahun untuk menyiapkan album itu.

Dia memberi sepenuh hati untuk memberi nafas segar kepada lima lagu iaitu Jika Kau Bercinta Lagi, Senandung Semalam, Seribu Bintang, Andainya Aku Pergi Dulu dan Sampaikan Salam Cintaku.

Kerjasama dengan penerbit Melina William dan Rozhan Razman membawa kepada penghasilan album berkenaan yang menelan kos hampir RM40,000.

“Bukan mudah buat pilihan (lagu) kerana terlalu banyak. Rozhan dan Jennifer Thompson bantu saya untuk proses tersebut.

“Dan bukan senang untuk nyanyikan semula lagu-lagu Alleycats kerana dalam saya mahu membawakannya dengan cara sendiri, saya juga perlu mengekalkan keaslian melodinya.

“Tapi dengan bantuan mereka yang berpengalaman, kami berjaya rakam lagu-lagu tersebut tanpa mengganggu bunyi asalnya,” kongsinya.

Disoal mengenai perbandingan dengan mendiang bapanya, penyanyi kelahiran Pulau Pinang ini memaklumkan dia sedia berdepan dan mengalu-alukan perkara tersebut.

“Saya sedia mendengar pendapat pendengar. Saya gembira kalau mereka bercakap mengenai album ini.

“Setiap pendengar ada pandangan mereka sendiri, saya tahu ada dalam kalangan mereka merupakan pendengar lama yang juga peminat Alleycats.

“Apa pun saya harap mereka dengar dahulu versi baharu lagu-lagu ini sebelum membuat perbandingan,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN