Saya tak mahu dilabel lelaki tua gatal - Shaharuddin Thamby - Utusan Malaysia

Saya tak mahu dilabel lelaki tua gatal – Shaharuddin Thamby

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaharuddin Thamby enggan memikirkan soal berpasangan atau berumah tangga semula pada usianya yang kini 67 tahun.

Aktor berpengalaman itu berpandangan dia tidak lagi sesuai memikirkan soal jodoh atau pasangan disebabkan usianya yang sudah lanjut.

“Memang ada (wanita yang mahu berkenalan), tapi saya tak mahu masyarakat pandang serong. Sudah berusia, masih mahu bercinta.

“Tahu sahajalah orang Melayu kita, perkara ini bagi ramai orang, sensitif. Saya tak mahu kemudian hari orang label saya lelaki tua yang gatal.

“Jadi lebih baik saya jangan cari pasal. Tak perlulah saya nak berpasangan lagi dan kalau boleh elakkan digosipkan dengan sesiapa,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Shaharuddin pada tahun 1978 berkahwin dengan Nor Aini Muhammad dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Rumah tangga mereka tidak berkekalan apabila keduanya bercerai pada tahun 2011.

Kata Shaharuddin lagi, sebagai orang Melayu, dia maklum mengenai perspektif negatif masyarkat tentang golongan yang berkahwin lagi di usia lanjut.

“Majoriti orang Melayu kita berpandangan, kalau sudah tua, buat cara tua. Walaupun ada keinginan dan masih berkemampuan untuk berumah tangga, saya tolak kerana saya tak mahu hadap pandangan negatif masyarakat.

“Jadi saya ambil jalan tengah, enggan timbulkan cerita yang tidak manis. Saya berpada-pada kalau berkawan, tak mahulah memberi ruang apatah lagi mengecilkan hati orang.

“Layan sebagai kawan tapi tak memberi harapan. Pada usia begini, tak perlulah saya fikir lagi soal perhubungan, melainkan umur masih 30-an, lainlah cerita. Ini, usia pun sudah lebih 60 tahun,” katanya lagi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN