Saya sakit hati baca komen hentam Aina Abdul - Ernie Zakri

Saya sakit hati baca komen hentam Aina Abdul – Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri, kesal dengan tindakan segelintir pengguna media sosial yang melakukan buli siber terhadap rakan seperjuangannya, Aina Abdul menyebabkan artis itu terguris dan tidak keluar rumah selama seminggu.

Pernah menjadi mangsa buli, Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, mengelak daripada membuka media sosial selepas terlibat dalam acara penting seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan konsert skala besar.

“Saya dan Aina sering menjadi target buli siber setiap hari. Saya tidak berada di tempat Aina, tapi saya faham apa yang dia rasakan selepas AJL baru-baru ini. Ia memberi impak yang sangat luar biasa kepada kesihatan mental.

“Mungkin dia menjadi target kerana seorang Aina Abdul memiliki nama yang besar dan sedang terbang tinggi hari ini.

“Saya bukan Aina Abdul, tapi saya akan ambil pendekatan untuk tidak sentuh media sosial selepas lakukan acara seperti AJL dan konsert selama empat hari untuk bagi semuanya surut dahulu,” katanya.

Ernie ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media pengumuman konsert 2025 Insomniacks, Ernie Zakri dan Dolla di Le Meridien petaling Jaya pada Selasa.

Dalam pada itu, pemenang Vokal Terbaik AJL39 itu berharap agar penyanyi Semalam itu tidak patah semangat selain berjanji mendoakan kejayaanya.

“Memang sakit bila kita terbaca komen buruk tentang Aina tapi saya yakin dia seorang yang kuat. Ini bukan pertama kali dia kena tapi sudah tentu ia memberi kesan. Tidak faham kenapa perkara begini harus terjadi.

“Saya harap Aina akan rasa lebih baik, sekarang pun keadaannya sudah membaik. Saya mendoakan juga kejayaannya InsyaAllah,” jelasnya.

Sementara itu, Ernie turut menegur tindakan segelintir individu yang bersikap toksik menjatuhkan artis lain di media sosial.

Jelasnya, jika seorang peminat itu betul-betul sayangkan penyanyi kesukaan, mereka seharusnya menjaga kelakuan dan bukannya menuding jari menjatuhkan sesiapa.

“Saya fikir peminat juga memainkan peranan, jika mereka sayangkan seseorang artis, mereka perlu menjaga nama baiknya. Saya tidak kata peminat saya sempurna, ada juga yang terlalu negatif, tapi tugas saya untuk menasihati mereka.

“Saya tidak kata mereka ikut semua cakap saya, tapi sudah cuba semampunya. Sama juga dengan peminat Aina Abdul.

“Peminat Aina adalah jentera yang akan buat apa sahaja untuk melindunginya. Cuma sebagai artis, berat juga bagi kita untuk baca komen yang bela dan hentam.

“Perang antara peminat sudah lama berlaku, saya tidak tahu bagaimana kita mahu menangani ini tapi saya percaya Aina Abdul seorang yang kuat,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Aina Abdul mendedahkan hatinya terguris membaca komen warga maya yang bersorak di atas kekalahannya di pentas AJL39 Ahad lalu.

Kecewa dengan kata-kata itu, Aina tidak keluar rumah seminggu untuk mengumpul kembali kekuatan diri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN