'Saya reda walau hanya jumpa jasad' - Utusan Malaysia

‘Saya reda walau hanya jumpa jasad’

NORHAYATI Ramlly tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita selepas anaknya, Muhammad Naufal Aiman dikhuatiri lemas dihanyutkan arus Sungai Perak di Kampung Tepus, Parit di sini hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: “Saya reda kalau dia pergi (meninggal dunia) namun tetap berharap supaya jasadnya dijumpai,” demikian kata Norhidayah Mohd. Shabidin, 42.

Norhidayah adalah ibu kepada Muhammad Nazrin Haidar Mohd. Hisham, 16, yang hilang selepas dihanyutkan arus deras Sungai Perak di Kampung Tepus di sini semalam, bersama rakannya, Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16.

Menurut Norhidayah, kejadian menimpa anak ketiga daripada enam beradik amat berat untuk diterima namun dia reda dengan ketentuan Allah.

“Kalau boleh saya harap anak saya ditemui walaupun hanya jasadnya sahaja. Tak tahulah macam mana nak cakap kalau dia masih tidak dijumpai.

“Saya sebenarnya sudah reda kalau dia pergi. Saya tahu tidak ada kemungkinan dia hidup sebab (hilang) dalam air. Lagipun, anak saya tidak pandai berenang,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi operasi mencari dua mangsa itu, di sini hari ini.

Menurutnya, dia dimaklumkan kejadian menimpa Muhammad Nazrin Haidar oleh rakan anaknya dan segera bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya tidak tahu dia datang ke sini (lokasi kejadian) sebab fikir dia ada di dalam bilik. Kali terakhir saya berbual dengan anak selepas dia pulang dari sekolah.

“Dia sempat makan tengah hari dan mandi. Dia ada tunjukkan pada saya rambutnya yang telah diwarnakan semula kepada warna hitam selepas diminta oleh gurunya,” katanya.

Sementara itu, ibu Muhammad Naufal Aiman, Norhayati Ramlly, 46, berkata, dia tidak menyangka permintaan anaknya untuk mendapatkan kasut sekolah baharu berwarna putih menjadi permintaan terakhir remaja itu.

“Dia ada minta untuk dibelikan kasut sekolah dan stoking berwarna putih, sebelum ini dia pakai kasut hitam. Dia betul-betul gembira sampai meloncat apabila saya belikan dia kasut baharu.

“Dia seorang anak yang rajin dan selalu bantu saya berniaga. Bila berniaga dia akan tolong angkat barang-barang berat dan bantu pula kemas bila selesai berniaga. Dia anak yang sangat boleh diharapkan,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang semalam, Muhammad Nazrin Haidar dikatakan tenggelam selepas cuba menyelamatkan Muhammad Naufal Aiman terjatuh ke dalam sungai ketika mengambil bola .

Cubaan tiga rakan lain yang turut berada di lokasi kejadian untuk membantu mereka gagal sebelum bertindak meminta pertolongan penduduk kampung.

Setakat pukul 3 petang ini, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya