SHAH ALAM: Pelakon, Fattah Amin, 35, menganggap reaksi anaknya, Fatima Aisya, merajuk dengannya baru-baru ini sebagai satu perkara yang normal buat seorang kanak-kanak.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, apa yang dikatakan anaknya itu juga di luar jangkaan kerana Fatima baru berusia 4 tahun.
“Budak 4 tahun sekecil itu kita tak boleh jangka apa dia cakap. Saya rasa itu normal, mungkin dia merajuk,” katanya.
Fattah ditemui ketika majlis Meet and Greet bersama produk Jakel yang berlangsung di sini, hari ini.
Fattah berkata demikian bagi mengulas perkara tersebut selepas tular video Fatima meluahkan kata tidak sayang bapanya ketika dalam satu sesi siaran langsung.
Menafikan wujud sebarang masalah antara mereka, tambah Fattah dia baru sahaja berjumpa dengan anaknya itu pada Jumaat dan tidak menunjukkan sebarang reaksi seperti yang didakwa.
“Bila kami berjumpa saya tak nampak reaksinya seperti dalam video yang tular. Kami banyak bercakap.
“Meskipun sekarang tidak lagi seperti dahulu, namun hubungan kami masih kuat. Saya tak nampak ada jarak antara kami.
“Saya dan Fazura (bekas isteri) juga sebaik mungkin cuba buat Fatima faham dengan keadaan sekarang,” katanya.
Menurut Fattah lagi, dia juga tidak meletakkan kesalahan pada mana-mana pihak yang memuat naik video berkenaan sehingga tular.
Pada masa yang sama, dia juga berharap tidak timbul sebarang spekulasi atau tohmahan hanya kerana video pendek tersebut.
“Saya tak tahu apa niat orang yang upload video tersebut. Harap tiada lagi kecaman. Doakan yang baik-baik,” luahnya.
Untuk rekod Fatima merupakan anak hasil perkongsian hidup Fattah bersama pelakon Nur Fazura.
Pasangan ini bernikah pada 27 November 2017 dan sah bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.