PETALING JAYA: “Dah beberapa kali raya, saya hanya berdua sahaja dengan ibu saya sampai tidak tahu mahu pergi ke mana.”
Demikian luahan pelakon, Zara Zya ketika mengulas mengenai hubungannya dengan bapa kandungnya yang seolah tiada kesudahannya.
Zara atau pemilik nama penuh, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 38, yang pernah berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran di Threads pada tahun lalu juga enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.
“Saya enggan kupas isu ini dengan lebih lanjut sebab perkara terbabit pun sudah lama berlaku.
“Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap tentang hal berkenaan. Hubungan saya dengan bapa saya biasa-biasa sahaja, masih sama seperti dulu,” katanya.
Kata Zara, tindakannya memuat naik hantaran sedemikian sebelum ini mungkin berpunca daripada emosinya yang terganggu kerana dirinya benar-benar memerlukan sosok seorang ayah seperti keluarga yang lain.
“Mungkin pada ketika itu, emosi saya terganggu. Biasalah kan, bila tengok orang lain ada keluarga lengkap, begitu juga keluarga kawan-kawan saya.
“Saya rasa kesihatan saya pada waktu itu turut memberi kesan kepada emosi, di mana saya memang memerlukan seorang ayah.
“Saya pula ingatkan tidak ramai yang akan perasan, tapi saya lupa yang saya adalah seorang selebriti.
“Saya berkongsi sebab pada waktu itu saya kesunyian. Namun, saya tak sangka mendapat perhatian ramai,” jelasnya.
Sebelum ini, Zara pernah mendedahkan hubungan bersama bapanya tidak begitu baik selain mendakwa bapanya tergamak melemparkan kata-kata hinaan terhadapnya melalui beberapa akaun palsu dalam media sosial. -UTUSAN