KUALA LUMPUR: “Sekejap tenang, sekejap tidak. Perkara ini terlalu tiba-tiba jadi saya perlukan masa untuk menerimanya dengan tenang dan reda.”
Demikian luahan pelakon. Amyza Aznan yang tidak mampu menahan sebak selepas mengesahkan anak lelakinya, Andre Mikhail menghidap kanser paru-paru tahap ketiga.
Menurut Amyza, Andre yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Ampang selama dua minggu kini sudah ditukarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi meneruskan sesi rawatan kemoterapi.
“Alhamdulillah, pagi tadi Andre sudah dibawa ke HKL dengan menaiki ambulans dari Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan di sana. Sebelum ini, pihak Hospital Ampang telah menjalani prosedur mengeluarkan air daripada jantung bagi memastikan bacaan oksigennya stabil.
“Kalau ikutkan doktor mahu lakukan intubasi terhadap Andre, tetapi saya tidak benarkan kerana percaya oksigennya akan stabil sebelum dibawa ke HKL. Berkat doa, oksigen dia kembali stabil dan mereka terus bawa ke HKL.
“Prosedur seterusnya dia akan menjalani rawatan kemoterapi. Doktor yang merawatnya di Hospital Ampang kata selepas dia sampai di HKL, pihak hospital akan terus mulakan kemoterapi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada Andre menunjukkan sebarang simptom, pelakon drama bersiri Rindu Kasih itu mengakui terkejut apabila pihak hospital memaklumkan kepadanya perkara tersebut kerana anaknya seorang yang aktif bersukan.
Kata Amyza, anaknya itu hanya memaklumkan dia mengalami kesakitan pada bahagian bahu namun tidak sangka ia berlarutan selama berbulan.
“Perkara ini amat mengejutkan kami sebenarnya kerana dia tidak menunjukkan sebarang simptom. Andre seorang yang kuat bersukan. Jadi dia jarang diserang penyakit walaupun demam.
“Pada mulanya, Andre mengadu bahawa dia mengalami rasa sakit pada bahagian bahu. Kami sangka itu berpunca daripada ototnya kerana kerap bersukan.
“Tetapi, kesakitan itu berlarutan selama berbulan dan membuatkan kami terus nekad untuk bawa ke hospital,” jelasnya.
Meskipun tenang berkongsi keadaan terkini anaknya, Amyza mengakui dirinya kini berada dititik terendah mengenang nasib yang menimpa anak kesayangannya itu.
“Sebenarnya nampak saja saya kuat, tetapi emosi ini saya tidak boleh tunjuk pada orang. Saya tidak mahu orang nampak saya lemah. Hati ini rapuh. Anak demam pun saya sudah menangis inikan pula dia sedang menghidap kanser,” ujarnya.-UTUSAN