ALOR SETAR: “Marah… simpan dendam pun tak guna. Saya akan maafkan mereka (pembunuh) apabila kes mahkamah ini selesai, tak ada bersangkut apa lagi. Saya maafkan juga bagi pihak anak saya”.
Demikian ungkap Mohd. Zaini Hashim, 63, bapa kepada Allahyarham Muhammad Muslim, 23, yang dibunuh bersama bapa angkatnya, Ibrahim Mydin, 61, dalam kejadian kebakaran pada 21 Januari lalu di sebuah rumah di Tongkang Yard di sini.
Mohd. Zaini berkata, walaupun perbuatan itu kejam apatah lagi si tertuduh merupakan rakan arwah anaknya, mereka sekeluarga reda dengan takdir tersebut.
“Insya-Allah bagi selesai dahulu kes mahkamah ini dan kemudian saya akan maafkan mereka nanti. Apa pun saya harap mereka yang terlibat akan mendapat balasan setimpal.
“Saya akan mengikuti kes ini sehingga selesai. Untuk hadir ke mahkamah mungkin sukar tetapi saya akan ikutinya nanti di media sampai jatuh hukum,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Mohd. Zaini hadir ke HSB untuk menuntut jenazah anak lelakinya sebelum disemadikan di Masjid As Salam di Kuala Kedah, semalam.
Turut hadir keluarga Allahyarham Ibrahim yang diwakili anak lelakinya, Mohd. Akram, 30, yang menguruskan pengebumian warga emas itu di Masjid Al Ikhsan, Tongkang Yard selepas solat Zohor, semalam.
Tambah Mohd. Zaini, mereka sekeluarga menzahirkan perasaan syukur kerana akhirnya dapat membawa pulang jenazah Muhammad Muslim untuk disemadikan.
“Semalam polis telefon, boleh bawa arwah pulang untuk disemadikan hari ini. Kami bersyukur akhirnya dapat kebumikan arwah. Kami sekeluarga reda kerana hendak bersedih lama-lama pun tidak elok dan harap arwah tenang di sana,” katanya. – UTUSAN