'Saya lihat tangan Aiman terkapai-kapai' - Utusan Malaysia

‘Saya lihat tangan Aiman terkapai-kapai’

KAWASAN beting pasir lokasi dua mangsa lemas di Sungai Perak dekat Kampung Tepus, Parit semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Tiada yang lebih memilukan buat seorang remaja apabila melihat dua rakannya terkapai-kapai di depan mata sebelum dibawa arus Sungai Perak dekat Kampung Tepus, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang itu, Muhammad Nazrin Haidar Mohd. Hisham, 16, cuba menyelamatkan Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16, yang terjatuh ke dalam sungai ketika mengambil bola sebelum kedua-duanya tenggelam.

Menceritakan kejadian itu, Mohd. Irfan Solihin Mohd. Rizal, 14, berkata, dia bersama Muhammad Nazrin Haidar dan Muhammad Naufal Aiman serta dua rakan datang ke kawasan beting pasir Sungai Perak itu untuk bermain bola.

Katanya, ketika sedang bermain, bola tersebut tersepak jauh dan terjatuh ke dalam sungai dengan Muhammad Naufal Aiman segera ke tebing beting pasir untuk mengambil bola itu semula.

“Kami dah larang dia supaya tidak ambil bola itu tapi dia mahu pergi juga. Selepas lihat Aiman terjatuh, Nazrin turun ke dalam sungai dan cuba hulur buluh padanya tapi dia tak dapat capai.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas apabila Nazrin tiba-tiba dihanyutkan arus dan tenggelam. Kami sempat lihat tangan Aiman terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong sebelum dia senyap dan turut hilang,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi operasi mencari dua mangsa itu, di sini hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan terkejut dan panik, dia segera berlari ke tebing untuk meminta pertolongan penduduk kampung.

“Kejadian ini buat saya trauma sehingga sukar tidur malam. Hubungan kami berlima rapat kerana berkawan sejak kecil dan bersekolah di sekolah yang sama.

“Kami memang selalu datang ke beting pasir ini untuk bermain bola dan mandi tapi tidak sangka pula akan jadi begini. Saya berharap Nazrin dan Aiman dapat dijumpai segera,” katanya.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh pasukan penyelamat masih dijalankan dan setakat pukul 1 petang tadi, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya