PETALING JAYA: Penyanyi Datin Alyah mengakui dia merupakan ibu susuan kepada anak angkatnya, Nur Izzara sekali gus meleraikan keraguan orang ramai tentang batas hubungan dengan suaminya, Datuk Ramli MS.
Kata pemilik nama lengkap Nor Hasliah Abu Hassan, 44, Ramli yang mesra disapa sebagai Tok Ram secara tidak langsung mempunyai hak sama seperti bapa kandung Zara.
“Saya dah susukan Izzara. Jadi antara dia dan Tok Ram (Ramli) mempunyai hak seperti bapa dan anak kandung.
“Harap selepas ini dapat memberi jawapan kepada pihak yang sering mesej saya berkenaan hal ibu susu,” katanya dalam hantaran Instagram.
Dalam perkongsian sama, Alyah turut memberitahu bahawa dia merupakan ibu saudara Izzara dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.
“Zara dengan saya bukan orang lain, dia adalah anak saudara saya sendiri. Kami tidak ambil Zara dari mana-mana kebajikan atau rumah anak yatim.
“Jadi minta maaf banyak-banyak kepada yang bertanya di mana saya ambil Zara dan bagaimana nak ambil anak angkat,” jelasnya.
Menyedari tanggungjawab sebagai ibu bapa angkat sangat besar, penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu sempat menitipkan nasihat kepada pasangan yang ingin mengambil anak angkat.
“Nasihat saya jangan ikut kata orang atau apa rasa hati kita mahu sebab yang kita jaga ini adalah jiwa dan nyawa.
“Besar tanggungjawab ini, tak mudah. Sebelum apa-apa keputusan dibuat, mohonlah pada Yang Maha Kuasa,” jelasnya.
Jun tahun lalu, Alyah dan Ramli mengumumkan mereka sudah mengambil Nur Izzara sebagai anak angkat selepas 11 tahun berkahwin.
Alyah dan Ramli telah mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2013, namun belum dikurniakan cahaya mata.