'Saya harap pakar tak tinggalkan perkhidmatan awam'

‘Saya harap pakar tak tinggalkan perkhidmatan awam’

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: ‘Saya harap (doktor) pakar tidak meninggalkan perkhidmatan awam’.

Itu harapan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad terhadap barisan doktor pakar yang menerajui sektor perkhidmatan kesihatan awam di negara ini.

Beliau pada masa sama menyedari dua faktor utama yang perlu ditangani segera iaitu agenda mentransformasi kesihatan digital dan isu pembiayaan sistem kesihatan yang membelenggu selama ini.

“Penyelesaian digital (sistem kesihatan) semuanya adalah sangat mustahak dan ia juga berkaitan dengan aspek sumber manusia.

“Jadi, saya berharap pakar tidak meninggalkan perkhidmatan awam. Namun, saya sedar keperluan untuk mereformasi kesihatan digital dan pembiayaan sistem kesihatan,” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Future Healthcare Asia 2025 di sini, hari ini.

Terdahulu, semasa berucap, beliau berharap sektor penjagaan kesihatan di negara ini berupaya mendalami inovasi terkini yang mentakrifkan semula penjagaan pesakit serta berkongsi amalan terbaik yang mendorong kecemerlangan.

Bagaimanapun, Dzulkefly menyedari cabaran yang perlu ditempuh pada masa depan iaitu pembiayaan penjagaan kesihatan yang mampan, kesan perubahan demografi serta integrasi pesat kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam amalan perubatan.

“Minggu lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan bangunan baharu di Hospital Kajang, dengan sistem pengurusan pesakitnya kini diperkasakan oleh AI yang membantu dalam diagnostik dan pembuatan keputusan klinikal.

“Kompleks ini juga dilengkapi dengan tiub pneumatik automatik sepenuhnya yang menghantar ubat-ubatan dan sampel perubatan dengan pantas dan tepat. Pastinya, ini hanyalah permulaan dalam perjalanan transformasi kita,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia ha­nya mempunyai 6,985 pakar perubatan yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan dan jumlah tersebut tidak mencukupi untuk merawat 80 peratus daripada 33.2 juta penduduk terutama dalam kala­ngan berpendapatan rendah B40.

Kekurangan doktor pakar itu melibatkan pelbagai bidang antaranya pakar kardiotorasik (jantung), onkologi (kanser), pe­­rubatan paliatif (kanser), pe­rubatan geriatrik (penyakit orang tua), neurosurgeri (otak), obstetrik (sakit puan) dan ginekologi serta psikiatri.

Akibat kekurangan tersebut, daripada 145 hospital kerajaan di seluruh negara hanya kira-kira 70 hospital mempunyai khidmat doktor pakar, manakala baki hospital menyediakan khidmat pakar secara lawatan ke hospital-hospital tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya