Saya bukan MB untuk Melayu, Islam, Pas sahaja

‘Saya bukan MB untuk Melayu, Islam, Pas sahaja’

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah diiringi Muhammad Sanusi Md. Nor dan tetamu kenamaan lain menggaul yee sang sempena Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar. – IHSAN TOSHA IMAGES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu beliau mengemudi pentadbiran ne­geri itu bukan semata-mata untuk berkhidmat kepada orang Melayu, Islam dan parti Pas sahaja.

Menurut Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Jeneri itu, beliau bertanggungjawab terhadap kesemua 2.2 juta rakyat Kedah terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan umur.

Katanya, beliau Menteri Besar yang diberi mandat dan tanggungjawab oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk memimpin dan menguruskan kesejahte­raan penduduk tidak kira yang mengundi atau tidak mengundi Perikatan Nasional (PN) ketika pilihan raya.

“Apabila diberi amanah atas perkenan Tuanku untuk memimpin bermula 17 Mei 2020, se­ring ditegaskan dalam ucapan-ucapan bahawa patik bukanlah Menteri Besar Kedah untuk orang Melayu sahaja, bukan untuk orang Islam sahaja, juga bukan untuk orang Pas atau PN sahaja, tetapi patik bertanggungjawab ke atas semua 2.2 juta rakyat jelata Tuanku,” katanya berucap di hadapan Sultan Sallehuddin yang berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baru Cina bagi tahun 2025 Peringkat Negeri Kedah di sini, malam tadi.

Muhammad Sanusi turut mengisytiharkan slogan ‘Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua’ sebagai dasar Kedah bermula 2020 hingga kini yang bermaksud halatuju serta komitmen kerajaan negeri yang diamanahkan kepadanya dan barisan Exco serta pentadbiran untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh lapisan masyarakat secara adil dan saksama.

“Patik beserta barisan Exco dalam kerajaan Tuanku tidak sekali-kali meminggirkan mana-mana kelompok minoriti sama ada dari segi kaum, agama, taraf hidup, pendidikan, ideologi politik mahupun apa-apa perbezaan yang lain dalam menentukan sebarang dasar atau keputusan yang dibuat.

“Dalam hal ini, kerajaan Tuanku sentiasa berpegang pada prinsip bahawa semua rakyat di Kedah mempunyai hak sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan, justeru hak-hak ini akan sentiasa dihormati dan diraikan,” katanya.

“Islam menegah daripada mendiskriminasi warna kulit dan Islam juga tidak memaksa dalam beragama.

“Dalam kerajaan Tuanku ada Exco, Wong Chia Zen yang ditugaskan menjaga kebajikan orang bukan Islam selain tiga pegawai khas yang menjaga hal ehwal kaum bukan Melayu termasuk Siam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya