KUALA LUMPUR: “Setiap pasangan lakukan kesilapan masing-masing. Saya tidak mahu komen lanjut kerana saya ada silap sendiri, saya bukan malaikat dan isteri saya bukan bidadari.”
Demikian respons pelakon, Beego mengenai dakwaan dia mengasari isterinya, Linda Hashim.
Enggan perkara itu berlarutan, Beego berkata dia sudah meminta maaf dan memujuk isterinya itu supaya membatalkan hasrat untuk bercerai.
“Saya sangat mencintainya dan mahu mempertahankan perkahwinan ini kerana anak-anak. Saya sudah pun meminta dan berusaha memujuknya supaya membatalkan hasrat untuk bercerai.
“Selain masih sayang, usaha itu juga dibuat kerana anak-anak kami masih kecil dan mahukan perhatian kedua ibu bapa,” katanya.
Mengenai kenyataan Linda yang meminta pihak media bertanya sendiri mengenai isu itu kepada Beego, pelakon lelaki itu menganggap itu merupakan respons spontan orang yang sedang marah.
Tambah Beego lagi, dia tahu akan niat isterinya untuk bercerai, namun tidak menyangka tarikh sebutan pertama berlangsung pada hari ini kerana tidak mendapat sebarang notis.
“Saya hanya memberi ruang untuk dia mencari ketenangan tetapi tidak menyangka dia akan ke mahkamah dan melanjutkan proses perceraian.
“Kalau ikutkan hukum, saya yang sepatutnya keluar rumah. Tetapi saya sendiri yang membenarkan dia keluar bersama anak-anak demi mendapatkan ketenangan,” jelasnya.
Beego turut mengakui kesibukkannya bekerja membuatkan dirinya tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap isteri dan anak-anaknya.
Pelakon itu juga menafikan wang antara punca rumah tangganya retak memandangkan dia masih mempunyai pekerjaan lain selain karier lakonan.
“Pendapatan saya stabil, tetapi tidaklah begitu mewah. Mungkin kesibukan kerja membuatkan Linda terasa kurang mendapat perhatian,” ujarnya.
Sebelum ini, ketika ditemu bual selepas prosiding sebutan pertama perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Linda meminta soalan mengenai keganasan domestik dan kewujudan orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka terus diajukan kepada Beego.
Hari ini, mahkamah menetapkan 6 Mac depan merupakan tarikh sebutan kedua bagi kes tersebut.
Untuk info, Linda menfailkan cerai buat kali ketiga terhadap Beego pada 17 Januari lalu dengan alasan tidak mempunyai persefahaman. -UTUSAN