Sarjan tak mengaku empat pertuduhan rasuah

Sarjan tak mengaku empat pertuduhan rasuah

KHAIRUL Azhar Azmi (kiri) dibawa oleh Pegawai SPRM selepas tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap empat pertuduhan rasuah, empat tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Azhar Azmi, 36, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini. 

Dalam pertuduhan pertama, ketiga dan keempat, dia yang sebelum ini Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Korporat/Kewangan (1), Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, didakwa secara rasuah memperolehi untuk dirinya wang tunai berjumlah RM16,000 dari seorang lelaki berumur 45 tahun. 

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melakukan tangkapan terhadap lelaki terbabit, serta seorang wanita berusia 42 tahun yang disyaki melakukan kesalahan tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 dan 22 Jun 2021 di Balai Polis Hi Tech, Kulim serta 24 Jun 2021 di depan Kedai Best Fortune Auto Centre Cawangan Bakar Arang, Kuala Muda. 

Bagi pertuduhan kedua, dia pada pada 15 Jun 2021 di Balai Polis Hi Tech didakwa cuba memperolehi suapan wang tunai berjumlah RM15,000 daripada lelaki sama sebagai upah untuk menutup kertas siasatan berhubung kes itu.

Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala tertuduh diwakili peguam, R. Arvend. 

Jika sabit kesalahan, bapa kepada empat anak itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. 

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mac depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya