Saringan kusta di Kampung Orang Asli Guntur ditunda minggu hadapan - Utusan Malaysia

Saringan kusta di Kampung Orang Asli Guntur ditunda minggu hadapan

BIBI Sharliza Mohd.Khalid (tiga dari kanan) dan Shahrani Idderis (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan ketika melawat penduduk di Kampung Orang Asli Guntur dan Chergun, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Saringan jangkitan kusta terhadap penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Guntur, di sini, yang dijadualkan hari ini ditunda kepada satu tarikh minggu hadapan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan/Melaka, Shahrani Idderis berkata, bagaimanapun pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia akan sentiasa memantau tahap kesihatan masyarakat Orang Asli  dari semasa ke semasa.

Malah menurut beliau, program kesihatan yang dilaksanakan di lebih 80 kampung orang Asli di dua negeri tersebut sebelum ini juga merupakan usaha bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran orang Asli mengenai penyakit tertentu.

“Bukan hanya program pencegahan kusta, program pencegahan demam malaria turut diadakan bagi memastikan masyarakat ini akan terus dilindungi dari semasa ke semasa.

“Kerjasama ini juga banyak membantu masyarakat orang Asli memahami situasi penyakit tertentu dan seterusnya langkah yang perlu diambil mereka mengikut panduan yang telah diberikan KKM,” katanya.

Beliau ditemui ketika melakukan lawatan ke Kampung Orang Asli Guntur dan Chergun bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Bibi Sharliza Mohd. Khalid, di sini, hari ini.

Dalam lawatan berkenaan, penduduk di kampung berkenaan turut diberikan sumbangan bakul makanan dan barangan keperluan harian.

Sebelum ini, saringan penyakit kusta bagi baki penduduk di Kampung Guntur oleh pihak Kementerian Kesihatan dijadualkan dilaksanakan hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sehingga 19 Februari lalu, seramai 368 daripada 460 penduduk di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur di Kuala Pilah telah menjalani saringan kesihatan bagi mengesan kes kusta.

Sehingga kini, sebanyak sembilan kes telah disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberikan rawatan mengikut garis panduan ditetapkan.

Bagaimanapun, seorang pesakit lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Chergun dilaporkan meninggal dunia pada 17 Februari lalu selepas dimasukkan ke hospital akibat mengalami demam, sakit perut dan muntah.

Sementara itu, Bibi Sharliza menasihatkan orang ramai untuk tidak panik susulan penyakit kusta berkenaan kerana kes tersebut adalah terkawal serta bukanlah dikategorikan sebagai wabak.

Beliau turut berharap agar masyarakat luar dapat menerima kehadiran orang Asli dari dua perkampungan tersebut seperti biasa sama ada di kedai, sekolah dan tempat-tempat awam yang lain.

“Kita tidak mahu orang Asli, merasa tertekan,yang tak kena kusta ni pun orang tidak mahu jumpa. Kita tidak mahu begini, nak jual getah juga tak dapat, perkara ini tidak boleh dibiarkan, mereka juga mahu cari rezeki, kita kena selesaikan masalah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya