SUNGAI PETANI: Sambutan Thaipusam yang merupakan perayaan penting bagi penganut agama Hindu diraikan dengan penuh meriah di beberapa lokasi utama, termasuk di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, di sini.
Kuil ini menjadi tumpuan ribuan penganut dan pelancong setiap tahun yang mana salah satu elemen utama sambutan adalah pengangkatan kavadi.
Kavadi yang dibawa dihiasi dengan bulu merak dan pelbagai hiasan lain, menjadikannya tarikan utama bagi pengunjung.
Selain itu, terdapat juga amalan menarik seperti ‘Theer Kavadi’ atau ‘Chariot Kavadi’, di mana individu menarik kereta kuda kecil yang diikat pada belakang mereka menggunakan cangkuk logam.
Malah, sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam bukan sahaja menjadi platform untuk penganut menunaikan nazar, tetapi juga sebagai medium memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Aktiviti seperti pengagihan makanan percuma kepada pengunjung oleh sukarelawan tempatan mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian antara kaum. – UTUSAN