KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah tidak kira betapa kecilnya sesebuah kawasan itu sama ada sekadar batu karang di tengah lautan, hak dan kedaulatan negara mesti dipertahankan.
Seri Paduka bertitah, kerajaan perlu bijak menguruskan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau serta sempadan negara.
“Kerajaan perlu bijak dalam menguruskan hubungan diplomatik dengan semua pihak, termasuk negara jiran.
“Selain itu, Malaysia perlu mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang, dan pertahanan bagi memastikan hak kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” titah Seri Paduka pada sesi pembukaan Istiadat Parlimen Penggal Ke-15.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia perlu kekal tegas dalam mendukung prinsip keamanan serta menentang segala bentuk keganasan khususnya dalam menghadapi konflik antarabangsa yang sedang berlaku.
“Perang yang sedang berlaku di Gaza harus segera dihentikan dan keadilan berdasarkan undang-undang antarabangsa perlu segera dilaksanakan,” titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim mengingatkan kerajaan untuk menunjukkan keupayaan dalam memimpin serta menentukan hala tuju ASEAN sebagai pengerusi pada tahun ini.
Seri Paduka bertitah, langkah tersebut adalah penting untuk memperkukuhkan kerjasama dengan negara-negara serantau serta memastikan Malaysia terus menjadi contoh dalam memimpin ASEAN ke arah kedamaian dan kestabilan serantau.
“Malaysia dengan kepimpinan yang matang dan berwawasan, mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan hala tuju ASEAN pada tahun ini.
“Kerjasama erat dengan negara-negara ASEAN adalah penting untuk mencapai matlamat bersama, iaitu keamanan dan kemakmuran serantau,” titah Sultan Ibrahim.-UTUSAN