IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memuji Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kerana menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk merintis teknologi baharu sektor pertanian.
Katanya, usaha sedemikian mampu merevolusikan sektor pertanian, pembangunan landskap dan industri lain.
“Inisiatif sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan akademik, malah menjadi pemangkin kepada inovasi yang lebih besar, menjadikan Perak sebagai pusat kecemerlangan dalam teknologi hijau, pertanian pintar dan penyelidikan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Sains, Teknologi, Agrikultur dan Landskap Ekspo (S.T.A.R.T.L.E. 2025) di sini hari ini yang dianjurkan oleh USAS.
USAS ditubuhkan pada 1999 bermula dengan nama Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) sebelum bertukar nama kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dan kemudian menjadi USAS.
Saarani berkata, S.T.A.R.T.L.E. yang dianjurkan secara konsisten, membuktikan komitmen USAS menjadi platform inovasi berimpak tinggi kepada sektor pertanian, teknologi, dan landskap.
“Negara seperti Belanda telah membuktikan bahawa pertanian moden tidak memerlukan tanah yang luas, tetapi teknologi yang pintar.
“Perak juga boleh menjadi peneraju dalam transformasi ini jika kita berani mengambil langkah ke hadapan dalam inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau mahu sektor awam, swasta, mahupun institusi pendidikan dan penyelidikan untuk terus berkolaborasi dalam meneroka potensi baharu demi kemajuan negeri Perak. – UTUSAN