Saarani pertahan tindakan lantik pegawai khas di kawasan Pembangkang - Utusan Malaysia

Saarani pertahan tindakan lantik pegawai khas di kawasan Pembangkang

SAARANI Mohamad bersama penerima Kad Perak Sejahtera pada program di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mempertahankan tindakannya melantik Pegawai Khas Menteri Besar (MB) di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang negeri ini.

Beliau berkata tindakan itu penting bagi membolehkan agenda kerajaan negeri sampai di kawasan-kawasan tersebut dan bukan bertujuan untuk membunuh karakter wakil rakyat pembangkang.

Katanya, pelantikan itu tidak menjejaskan wakil rakyat pembangkang termasuk dari segi elaun bulanan selain langkah yang sama pernah dilakukan oleh beberapa kerajaan negeri terdahulu daripada parti lawan.

“Mereka tak perlu bimbang. kita tak ambil duit dia, tak curi duit dia. Tak curi gaji dia. Bagusnya bagi orang-orang yang sedia bersaing, dia perlu kerja kuat sikitlah.

“Saya terpaksa meletakkan ini (pegawai khas MB). Saya sebut di banyak tempat dan ada juga Ahli DUN Pas tanya saya, saya kata sangat mudah, (kerana) kamu gagal,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera (KPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ekoran dakwaan dalam media sosial tentang pelantikan Pegawai Khas MB di kawasan pembangkang, yang dilihat seolah-olah menafikan peranan wakil rakyat setelah memenangi pilihan raya.

Saarani juga mempersoalkan ADUN Pembangkang yang tidak pernah bercakap tentang Perak Sejahtera 2030 yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan dan memperbaiki ekonomi.

“Saya tak dengar mana-mana ADUN pembangkang di ceramah cerita benda ini. Ada tak pemberita pernah dengar di mana-mana dalam Perak ini 26 ADUN pembangkang bercakap dengan lidah yang fasih.

“Sebab itu dia failed (gagal). Jadi arahan saya kepada Pegawai Khas, turun padang beritahu orang ramai apa yang kita sedang buat,” katanya.

Mengenai kriteria Pegawai Khas MB yang dikatakan orang politik, Saarani berkata mereka yang dilantik itu mestilah seseorang yang boleh dipercayai oleh Menteri Besar.

Ditanya mengenai indvidu yang dilantik itu merupakan potensi calon pilihan raya, beliau yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, tiada jaminan mereka dilantik itu bakal menjadi calon melainkan mereka sendiri berjaya mempamerkan prestasi terbaik sebagai pemimpin disukai ramai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya