MARAN: Ramadan yang bakal tiba cukup bermakna buat seorang lelaki Orang Asli apabila hasratnya untuk memiliki rumah sendiri tercapai menerusi penerimaan Rumah Makmur.
Penerima, Dondong Lonjong, 58, dari Kampung Orang Asli Paya Sendayan, Kuala Krau dekat sini berkata, dia teruja dan terharu menerima rumah baharu bernilai RM80,000 tersebut.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian rumah baharu yang begitu bermakna buat kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, pembantu makmal, Mohd. Imran Ismail, 39, berkata, peluang memiliki Rumah Makmur mengurangkan bebannya kerana bayaran bulanan kediaman itu lebih rendah berbanding institusi perbankan lain.
“Menerusi Rumah Makmur ini, saya membayar kira-kira RM500 sebulan dan jumlah ini lebih rendah berbanding di bank,” katanya.
Bagi Mohd. Shafik Abdullah, 38, pula, Rumah Makmur bernilai lebih RM250,000 di pasaran tetapi mendapat subsidi kerajaan negeri.
“Rasa syukur, teruja dan gembira sangat kerana penantian selepas empat tahun menyewa akhirnya dapat memiliki rumah yang ditawarkan kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN