KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor, berharap orang Melayu khususnya anak muda akan lebih menghargai kekayaan identiti busana bangsa.
Oleh itu, Rosyam atau Mohamed Noor bin Shamsuddin, 57, tidak teragak-agak untuk bersetuju ketika ditawarkan menjadi duta pakaian baju Melayu jenama Bulan Bintang tahun ini.
“Bagi saya baju Melayu ialah ciptaan istimewa karya orang terdahulu, inilah ‘jubah’ bangsa Melayu. Kalau kita pergi umrah, setiap bangsa ada jubah masing-masing. Orang Melayu bagai kehilangan identiti, mereka pakai jubah dari negara-negara berbeza.
“Kita boleh contohi masyarakat Indonesia yang bangga dengan pakaian corak batik. Sepatutnya orang Melayu bangga pakai busana yang telah dicipta oleh orang terdahulu iaitu baju Melayu yang penuh falsafah. Seperti lima butang melambangkan rukun agama Islam,” katanya.
Rosyam ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan pertunjukan fesyen jenama Bulan Bintang di Pusat Konvensyen KLCC, semalam.
Tambah pelakon KL Menjerit itu lagi, Bulan Bintang yang diasaskan oleh anak muda, Azzim Zahid, 28, meraikan kepelbagaian rekaan namun masih mengekalkan keaslian.
“Saya fikir jenama ini menzahirkan kekuatan anak muda yang telah berjuang sekian lama dan telah melahirkan satu fesyen baju Melayu. Busana mereka moden dan turut membawa kembali ciri-ciri klasik seperti potongan pesak.
“Semoga kehadiran saya sebagai duta akan memberikan kejayaan besar kepada Bulan Bintang pada tahun ini,” jelasnya.
Dengan bajet kempen raya mencecah RM15 juta, Bulan Bintang turut menamakan enam lagi personaliti popular sebagai duta pada tahun ini iaitu Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Hannah Delisha, Datuk Remy Ishak, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Zahiril Adzim dan Johan Ghazali. -UTUSAN