PETALING JAYA: Penyanyi popular, Datuk Seri Rossa, bakal membawa artis Malaysia untuk membuat persembahan di konsert jelajah Rossa: Here I Am di Jakarta, Mei nanti.
Menurut Rossa atau Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46, kolaborasi itu merupakan inisiatifnya meraikan kehadiran sahabat penyanyi dari Malaysia dalam konsert yang penuh bermakna itu.
“Konsert ini merupakan skala besar yang diadakan di tiga negara iaitu Jakarta, Malaysia dan Singapura. Banyak lagu yang ada di Malaysia tidak saya nyanyikan untuk konsert di Jakarta dan sebaliknya. Saya mahu beri rasa istimewa di setiap konsert.
“Ada banyak yang kami rancang termasuklah kolaborasi dengan penyanyi Malaysia sebagai bintang tamu.
“Penyanyi tersebut masih saya rahsiakan orangnya. Tapi ada artis Malaysia yang akan ke Jakarta dan penyanyi Indonesia yang buat persembahan di Malaysia.
“Malaysia sudah menjadi rumah kedua dan saya seperti sudah ada keluarga di sini. Saya mahu berlaku adil buat kedua-dua negara,” katanya.
Rossa ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media konsert Rossa: Here I Am di Pavilion Damansara Heights, hari ini.
Dalam pada itu, Rossa bakal membawa 27 buah lagu menerusi beberapa segmen seperti runut bunyi dan galau sepanjang tiga jam tersebut.
Menurut Rossa lagi, nama Here I Am dipilih sebagai refleksi dari perjalanan kerjaya beliau serta legasi yang telah dicapainya hingga kini.
“Bagi saya, nama Here I Am menggambarkan perjalanan kerjaya saya yang telah membawa saya sejauh ini, menjadikan siapa diri saya pada hari ini, berapa banyak album termasuk lagu hits dihasilkan, penghargaan serta anugerah yang diterima, termasuk konsert-konsert solo saya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin yang sinonim dengan penganjuran konsert berskala besar berkata dia bersetuju untuk bekerjasama dengan Rossa kerana mengenang sikap penyanyi itu yang rajin menghulurkan bantuan bukan hanya mengejar komersial semata-mata.
“Saya bersyukur kerana Rossa sentiasa prihatin dengan aktiviti kebajikan di Malaysia dan sentiasa bekerjasama untuk penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata.
“Rossa bersetuju untuk sama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin,” katanya,
Konsert Here I Am di Malaysia akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025. Tiket dijual bermula pada harga RM288. -UTUSAN