NEW YORK: Penyanyi bertaraf legenda, Roberta Flack yang popular menerusi lagu Killing Me Soflty With His Song, menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun.
Lapor BBC, berita duka itu disampaikan wakil mendiang, menerusi satu kenyataan yang dikongsikan baru-baru ini.
“Kami berduka cita terhadap pemergian Roberta Flack, hari ini, 24 Februari 2025.
“Mendiang mengembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang di samping keluarganya.
“Flack mengharungi pelbagai halangan dan mencipta banyak pencapaian. Beliau juga pendidik yang banyak berjasa,” katanya.
Flack, pada 2022, mendedahkan menderita penyakit motor neurone (gangguan saraf yang merosakkan sel yang mengawal pergerakan otot dalam tubuh).
Mendiang yang lahir di Carolina Utara dan dibesarkan di Arlington Virginia, memulakan langkah awal dalam bidang muzik sebagai pemain piano dan turut mengajar muzik.
Namanya mula dikenali pada usia 30-an, apabila lagunya, The First Time I Saw Your Face digunakan sebagai lagu latar dalam filem Play Misty For Me.
Lagu tersebut melayakkan Flack menjadi penerima anugerah Grammy pada tahun 1971, sebelum mengulangi kejayaan sama menerusi lagu Killing Me Softly With His Song pada tahun berikutnya.-UTUSAN